Bab 1

Màu nền
Font chữ
Font size
Chiều cao dòng

Prolog

"JANGAN lari!"

Bunyi jeritan yang bergema di dalam hutan yang gelap pekat itu membuatkan si gadis terus membuka langkah seribu. Dia berpaling ke belakang seketika bagi memastikan jarak di antara dia dan orang yang mengejarnya jauh. Bertalu-talu tembakan kedengaran di telinganya. Dia kecut perut.

Allah, selamatkanlah aku, detik hati kecil si gadis. Dia terpaksa merempuh segala jenis tumbuhan yang menghalang laluannya. Dia tahu langkahnya semakin jauh tersasar ke dalam hutan. Tetapi dia terpaksa berbuat begitu demi menyelamatkan nyawa, maruah dan hidupnya.

Entah apa silapnya dia menjadi mangsa kepada manusia yang zalim. Hidupnya digadaikan semata-mata kerana duit. Kebebasannya ingin disekat oleh orang yang tak berguna. Namun, Allah masih menyayanginya. Dia terselamat dari terus menjadi mangsa. Melarikan diri adalah cara yang terbaik walaupun dia tidak tahu bahaya yang akan mendatang selepas ini.

Langkah si gadis semakin perlahan. Peluh semakin membasahi pakaian yang dipakai. Baju kurung yang tersarung di tubuhnya menyukarkan pergerakan. Nafasnya semakin laju. Jantungnya juga mengepam darah dengan deras. Aliran pernafasannya semakin semput dan langkahnya terhenti.

Dia menyandarkan belakang badannya pada pokok untuk melepaskan lelah. Dia dapat rasakan kepedihan di bahagian wajah dan kakinya, mungkin terkena ranting-ranting kayu sewaktu berlari tadi.

Si gadis memandang ke kiri dan ke kanan, semuanya gelap-gelita. Bau hutan semakin mencucuk hidungnya. Tanpa sedar, dia menangis sambil tubuhnya melorot jatuh di atas tanah.

"Ya Allah, aku takut..." ngongoi si gadis dengan tangisan yang semakin menjadi-jadi.

Berseorangan di dalam hutan yang gelap memang menakutkan. Ditambah dengan bunyi burung hantu yang bersahut-sahut menambahkan lagi rasa gerun dalam dirinya. Pantas, dia memeluk lutut.

Klik!

Bunyi pemicu ditarik membuatkan mata si gadis terbuntang. Dadanya mula berombak ganas. Terasa kepalanya diacu dengan benda yang keras. Ya Allah, selamatkanlah aku! rintih hatinya berkali-kali.

"Kau ingat, kau boleh lari? Kalau aku tak dapat jual kau hidup-hidup, mungkin mayat kau pun berharga!" Suara garau itu berbunyi.

"Aku rela mati daripada jadi mangsa kau, binatang!" jerit si gadis dengan lantang. Dia bangun dan menyerang lelaki bertubuh sasa yang berada di hadapannya dengan tangan kosong.

Namun, nasibnya malang apabila dua lagi lelaki yang berbadan tegap merentap tangannya dengan kasar. Kedua-dua belah tangannya dipulas ke belakang. Tanpa belas kasihan, pipinya ditampar sekuat hati.

Lelaki bertubuh sasa itu meludah ke tanah. Terasa sakit wajahnya akibat dicakar oleh gadis itu. Rasa amarah semakin memuncak. Pistol diacukan ke kepala gadis itu dan...

Bang!!!

"Arghhh!!!" Bunyi jeritan gadis itu bergema di segenap hutan.

"Jeff!" Kedua-dua lelaki yang memulas tangan si gadis terus melepaskan pegangannya.

Mereka terkejut apabila melihat peluru melepasi kepala salah seorang rakan mereka. Darah memancut dari kepala lelaki bertubuh sasa itu sebelum tubuh tersebut tumbang menyembah tanah. Buntang mata mereka melihat tubuh rakan seperjuangan mereka menggelupur seperti ayam disembelih.

Si gadis semakin tidak keruan. Dia tergamam tanpa riak. Melihat pembunuhan di hadapan mata bukan impian hidupnya selama ini.

"Siapa kau? Dasar pengecut!" maki salah seorang lelaki itu.

Dushhh!!!

Hentakan keras di wajahnya membuatkan lelaki itu mengundur ke belakang. Seorang lelaki berambut panjang dan bertopeng muncul di hadapan mereka bertiga.

"Siaaa... paaa kau?" soal lelaki itu tergagap-gagap.

Agak gentar dirinya apabila berhadapan dengan lelaki misteri yang memegang pistol di tangan. Bila-bila masa saja nyawanya boleh dicabut dengan pistol itu.

"Kau tak perlu ambil kesah siapa aku tapi kau perlu kesahkan nyawa kau!" balas lelaki itu dengan kasar.

"Arghhh, kau ingat aku takut? Baik kau cakap, kau dari kumpulan mana?"

Kelihatan lelaki bertopeng itu hanya merenung tajam kedua-dua lelaki yang berada di hadapannya sebelum anak matanya beralih kepada gadis yang masih kaku di belakang kedua-dua lelaki itu.

"Aku? Aku dari kumpulan maut!" ucap lelaki itu.

Pantas, dua das tembakan dilepaskan. Sekelip mata mereka rebah menyembah tanah.

Si gadis menggeletar ketakutan. Terasa seperti ada cecair melekit tersimbah di wajahnya dan itu adalah darah! Dia ingin menjerit tapi tiada suara yang terkeluar. Dia ingin menangis namun air matanya bagaikan beku. Akhirnya dia hanya mampu memandang lelaki bertopeng itu menghampirinya sebelum dia turut rebah tidak sedarkan diri.


Bab 1

SUASANA Kampung Apal yang terletak di daerah Besut, Terengganu kelihatan tenang dan damai. Udara pada waktu pagi begitu segar. Bunyi kicauan burung yang keluar mencari makan begitu riuh tetapi bunyi kicauan itu cukup menenangkan.

"Aisy!" laung Nek Hajar memanggil cucu kesayangannya yang hilang entah ke mana.

Nek Hajar menolak pintu jendela yang tertutup. Terbentang sawah padi yang menghijau di pandangan matanya. Dari jendela itu dia dapat melihat hampir keseluruhan sawah padi yang diusahakan hampir lima puluh tahun lepas.

"Isy, mane pulok budok ni hilang?" soal Nek Hajar dengan loghat Terengganu yang pekat. Dia menggaru-garu kepalanya yang tidak gatal.

"Aisy!" panggil Nek Hajar lagi. Kali ini dengan suara yang lebih lantang.

"Saya, nek!" jerit Aisy dari kejauhan.

Dia berlari-lari anak ke arah Nek Hajar. Kakinya yang dipenuhi selut tidak dihiraukan. Tudung yang tersarung di kepala, dibetulkan sedikit.

"Bakpe nenek cari Aisy?" soal Aisy dengan nafas yang tercungap-cungap. Sudahlah badannya agak berisi, apabila berlari terkejar-kejar seperti ini pasti cepat dia diserang mengah.

"Ho gini, nenek nak mintok Aisy gi ambik baju hok nenek tempoh kat rumah Mak Munah. Rasanya dah siap semalam," ujar Nek Hajar sambil memandang wajah cucunya yang manis.

"Okey, nek. Aisy pergi sekarang."

"Jangan lupa bawok payung. Nampok hari macam nak hujang aje," laung Nek Hajar lagi apabila melihat Aisy sudah berlalu untuk mencapai basikal yang disandarkan di dinding rumah.

Pesanan Nek Hajar dibalas dengan lambaian oleh Aisy. Nek Hajar tersenyum nipis melihat kelibat cucunya yang sudah menghilang dari pandangan mata. Itulah satu-satunya cucu perempuan yang dia miliki setelah kematian anak perempuannya beberapa tahun yang lalu. Ayah Aisy pula jarang sekali pulang ke kampung untuk menjenguk Aisy. Segala urusan Aisy diserahkan seratus peratus kepada Nek Hajar dan Tok Awang.

Nek Hajar mengeluh berat. Apa khabar agaknya menantunya itu? Takkan sibuk sangat di bandar sampai terlupa untuk menjenguk anak sendiri di kampung? Kadang-kadang Nek Hajar terkilan dengan sikap menantunya itu. Suka lepas tangan jika berkaitan dengan Aisy. Itulah orang zaman sekarang, terlalu mengejar kekayaan sehingga melupakan keluarga sendiri.

KAYUHAN kaki Aisy terhenti sebaik saja melewati tanah perkuburan tidak jauh dari rumah Mak Munah. Dia turun dari basikal lalu menolak basikalnya menyelusuri tanah perkuburan yang dipenuhi dengan orang ramai. Dahi Aisy berkerut. Siapa meninggal? Soalan itu menerjah ke benak hatinya.

Kepalanya dijengukkan ke arah pusara yang dikelilingi orang ramai. Hatinya berdetak kencang apabila melihat Mak Munah yang sedang menangis teresak-esak sambil ditenangkan oleh mak cik yang lain. Kenapa Mak Munah menangis? bisik hati kecil Aisy.

Perlahan-lahan, dia menghampiri pintu pagar tanah perkuburan. Selesai talkin dibacakan, seorang demi seorang meninggalkan tanah perkuburan.

"Kiah, siapa yang meninggal?" soal Aisy sebaik saja menangkap lengan Rokiah yang lalu di sebelahnya.

"Anak saudara Mak Munah, Kak Haniza..." jawab Rokiah perlahan.

Mata Aisy membuntang. Bibirnya terketar-ketar apabila mendengar berita yang disampaikan oleh Rokiah.

"Kak Hani? Bila dia meninggal? Bakpe dia meninggal?" soal Aisy dengan air mata yang mula bertakung di kelopak mata. Terbayang wajah lembut milik Kak Haniza yang sentiasa ceria setiap kali bertemu muka dengannya. Sungguh Aisy tidak menyangka, ajal Kak Haniza seawal ini.

"Semalam, aku pun dok tahu bakpe dia meninggal. Mak Munah dok kabor pulok sebabnya. Apa pun sebab dia meninggal, kita doakan supaya dia tenang di sana," ucap Rokiah membuatkan Aisy terdiam. Dia mengangguk perlahan.

Aisy termenung seketika sambil anak matanya dihalakan ke arah pusara Kak Haniza yang mulai lengang. Hanya tinggal seorang lelaki sedang berdiri menghadap pusara yang sepi itu. Wajah lelaki itu tidak kelihatan di mata Aisy kerana batang tubuh itu membelakangi Aisy. Mungkin saudara-mara Kak Haniza, bisik hati Aisy.

Perlahan-lahan, Aisy mengorak langkah menuju ke pusara Kak Haniza. Hujan renyai-renyai tidak dihiraukan. Sungguh, dadanya sebak dengan pemergian Kak Haniza. Masih segar dalam ingatan Aisy saat dia ke hulu ke hilir menjual kuih di sekeliling kampung, Kak Haniza datang membeli semua kuihnya. Saat dia menunggu bas untuk ke bandar, Kak Haniza jua yang berhenti mempelawa dirinya. Bagi Aisy, Kak Haniza seperti kakaknya sendiri walaupun wanita itu jarang pulang ke kampung.

Aisy duduk melutut di hadapan pusara yang masih merah. Dia mengusap lembut batu nisan yang berada di hujung tanah. Sayu. Itulah yang dirasakan saat ini. Terasa seperti dia kehilangan keluarganya sendiri.

"Aisy macam tak percaya akak akan pergi tinggalkan Aisy seawal ini. Aisy rasa baru semalam Aisy dengar akak gelak. Senyuman akak Aisy takkan lupa sampai bila-bila. Rehatlah akak dekat sana. Rehatlah sepuas-puasnya. Aisy doakan akak ditempatkan dalam kalangan orang yang beriman. Dunia ini bukan untuk kita sepenuhnya sebab tempat kita yang kekal adalah di sana. Semoga kita bertemu lagi dalam kasih sayang-Nya," ucap Aisy perlahan.

Dia menadah tangan membaca surah al-Fatihah. Kehadiran lelaki yang berdiri kaku di tepinya langsung tidak dihiraukan. Dia menyeka air mata yang mengalir deras. Buat apa menangis jika ini pengakhiran yang telah ditetapkan sejak azali lagi.

Selesai berdoa, Aisy bangkit. Dia mengerling sekilas pada lelaki yang berdiri di sebelahnya. Lelaki itu tidak bersuara walaupun sepatah. Wajahnya tidak kelihatan kerana diselubungi dengan sweater berwarna hitam dan berhud. Ada kaca mata hitam yang tersungging di hidungnya yang mancung. Namun, hujung hidung lelaki itu kelihatan merah. Mungkin lelaki itu menangis, teka hati Aisy. Baju lelaki itu basah kuyup akibat dibasahi hujan. Timbul simpati dalam diri Aisy melihat keadaan lelaki itu.

"Setiap yang hidup pasti merasai mati, itu janji Allah pada setiap makhluk-Nya. Kak Haniza sudah dijemput oleh Allah dan segala tanggungjawabnya atas dunia ini dah selesai. Biarkan dia berehat dengan tenang kerana Allah akan menjaganya. Kita yang hidup harus teruskan hidup sebab kita tak tahu bila giliran kita pula dijemput. Salam takziah daripada saya," ucap Aisy perlahan lalu mengundurkan dirinya ke belakang.

Dia yakin lelaki itu mendengar segala tutur bicaranya. Namun, lelaki yang berbaju hitam itu kaku tidak beriak. Malah tiada suara yang kedengaran. Aisy mengangkat bahu. Dia ingin melangkah pergi tetapi langkahnya tiba-tiba terhenti apabila anak matanya terpandang pada payung yang sedang digunakannya.

Pandangan Aisy beralih pada batang tubuh milik lelaki itu yang basah kuyup. Timbul simpati dalam dirinya lantas payung yang berada di tangannya, diletakkan di tepi lelaki itu.

"Gunalah payung ni. Saya harap masih tak terlambat untuk encik gunakannya," ujar Aisy lalu berlalu meninggalkan payung berwarna merah di tepi lelaki itu.

Dia meneruskan langkah tanpa berpaling ke belakang. Ada sendu yang bermain dalam jiwa apabila memikirkan arwah Kak Haniza. Kak Haniza sudah tenang di sana, giliran aku bila pula? detik hati Aisy. Insaf.

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen2U.Net