Bab 10

Màu nền
Font chữ
Font size
Chiều cao dòng

TUAN ZABIR memberhentikan keretanya sebaik saja dia selamat keluar dari kawasan kampung. Dadanya masih lagi naik turun mengatur nafas yang tidak sekata apabila terbayangkan apa yang telah dia dilakukan kepada Nek Hajar.

"Apa aku dah buat ni?" soal Tuan Zabir kepada dirinya sendiri.

Dia memandang kedua-dua belah telapak tangannya. Tapak tangan ini digunakan untuk menghentak kepala Nek Hajar sehingga pecah. Tapak tangan ini turut berlinangan dengan darah insan yang telah banyak membantunya selama ini.

"Mak, maafkan Zabir. Zabir tak sengaja bunuh mak. Maafkan Zabir," keluh Tuan Zabir sambil meraup wajahnya.

Selama ini bukan tidak pernah dia membunuh malah sudah ramai yang mati di tangannya tetapi kali ini perasaan Tuan Zabir bercampur baur. Sedih, kecewa dan rasa bersalah kuat mencengkam hatinya apatah lagi bayang wajah Nek Hajar yang tidak sedarkan diri kerap berlegar-legar di ruang minda Tuan Zabir.

Tanpa sedar, ada air mata yang mula bertakung di kelopak mata Tuan Zabir. Dia menumbuk stereng dengan kuat. Berharap dengan cara itu mampu mengurangkan rasa bersalah yang merajai hati kecilnya.

Belum sempat ketenangan datang menjengah, telefon bimbit milik Tuan Zabir berbunyi menandakan isyarat mesej masuk. Pantas, telefon bimbit dikeluarkan daripada poket belakang seluarnya.

Dahi Tuan Zabir berkerut apabila melihat sekeping mesej berbentuk MMS yang dikirimkan daripada nombor yang tidak dikenali. Tanpa menunggu lama, Tuan Zabir menekan skrin untuk membuka video yang telah dihantar.

Buntang mata Tuan Zabir apabila melihat seorang gadis yang dipukul dan dikasari dengan ganas oleh seorang lelaki yang cukup dikenalinya. Jeritan dan rayuan gadis itu jelas kedengaran di telinga Tuan Zabir. Malah matanya menangkap darah yang mengalir di pinggir bibir gadis muda itu.

"Aisy!" jerit Tuan Zabir tidak tertahan. Telefon yang berada di tangannya digenggam kemas. Anak matanya mula memancarkan sinar amarah.

"Tak guna kau, Razak!" marah Tuan Zabir dengan dada yang berombak kencang. Lantas, stereng kereta ditumbuk bagi melepaskan kemarahan.

Belum lagi kemarahan Tuan Zabir reda, telefon bimbitnya berbunyi nyaring. Pantas, dia melihat skrin. Nombor yang tidak dikenali sedang membuat panggilan. Dia yakin itu pasti nombor Razak. Dengan tergesa-gesa dia menjawab panggilan.

"Macam mana King, dah dapat video tadi? Mesti kau happy kan tengok satu-satunya waris kau dapat layanan yang first class daripada aku. Itu baru sikit. Kau mesti terhibur tengok gambar-gambar anak kau yang manis tu. Tak sangka juga aku penjahat macam kau ni ada anak yang setara ustazah. Pandai kau simpan, kan?" perli Razak dengan tawa yang bergema di corong telefon.

"Tak guna! Lepaskan anak aku!" tempik Tuan Zabir dengan kuat.

"Lepaskan anak kau? Ooo... No... No... Bagi red diamond aku dulu, baru kau dapat anak kau," jawab Razak cukup bersahaja.

Tuan Zabir menggenggam penumbuk. Jika Razak berada di hadapan matanya saat ini, pasti kepala lelaki keparat itu sudah berkecai menjadi habuan pistolnya.

"Kalau kau apa-apakan anak aku, aku akan pastikan berlian tu hancur musnah! Kau faham tak?" jerkah Tuan Zabir lagi.

Razak mendengus kasar. Degil juga orang tua tak guna ni, desis hatinya.

"Baik, kau pilih nak serahkan berlian tu pada aku atau anak kau jadi gundik Kitai buat selama-lamanya? Cuba kau bayangkan anak kau yang suci ni jadi pemuas nafsu aku dan Kitai. Oh, seronoknya bila tubuh anak kau tu dalam dakapan aku. Hahaha!" Razak ketawa lepas. Sebelum mematikan talian.

Darah Tuan Zabir menyirap hingga ke ubun-ubun.

"Aku bunuh kau, Razak! Aku bunuh kau!" tempik Tuan Zabir. Sarat dengan amarah dan dendam.

"CHEERSSS!"

Bunyi tin minuman keras berlaga sesama sendiri mengejutkan Aisy daripada tidurnya. Perlahan-lahan dia membuka mata yang terasa berat. Jelas di pandangannya lima orang lelaki sedang berkumpul sambil meneguk minuman keras dengan rakus. Satu per satu diperhatikan oleh Aisy dengan pandangan yang menjengkelkan sebelum anak matanya tertancap pada sepasang mata yang turut memandang ke arahnya. Aisy terkedu. Anak matanya jatuh pada tangan lelaki itu. Tiada minuman keras, hanya air mineral saja yang dipegang. Dahi Aisy berkedut seribu.

"Minumlah sikit, Qartal. Kau tak nak sambut ke kejayaan kita hari ni? Bos belanja kita ni. Minumlah sikit," pujuk Jeff sambil menyuakan satu tin berjenama Carlsberg kepada Qartal.

Qartal menepis lembut. Dia kembali meneguk air mineral yang dipegangnya.

"Kau orang kalau nak minum, minumlah. Aku tak nak mabuk. Bila mabuk, siapa yang nak jaga perempuan tu? Kalau terlepas, aniaya kita kena dengan bos." Qartal memberi alasan.

"Alah, perempuan tu takkan lari. Dia takkan berani. Sekarang kita tengah hutan. Dia takkan selamat kalau lari dari kita. Silap-silap masuk mulut rimau dulu," sampuk Bob sambil ketawa lantang diikuti dengan tawa sahabatnya yang lain.

"Come on, Qartal. Minumlah sikit. Tak luak pun. Rasalah sikit. Penat-penat kita kerja, time inilah kita nak enjoy," paksa Abdul sambil cuba menyuakan tin yang berisi arak tu rapat ke mulut Qartal.

Qartal mendengus. Dia menepis kasar. Berdeting bunyi itu terhempas ke atas lantai. Tanpa mengira kawan atau lawan, Qartal mencapai pistol di atas meja lalu diajukan tepat ke dahi Abdul yang tergamam dengan reaksi Qartal.

"Aku paling pantang orang paksa aku. Bila aku cakap tak nak, maknanya tak nak! Jangan nak paksa. Kalau kau tak nak kepala kau bersepai dekat sini, jangan banyak bunyi!" ugut Qartal dengan anak mata tepat menikam wajah Abdul yang pucat lesi.

"Wo... Wooo... Relaks, Qartal. Aku tahu kau tak suka orang paksa kau tapi kita orang nak kau enjoy. Baik, kita orang tak paksa. Kalau kau tak minum, biar kami yang habiskan," sampuk Jeff cuba menjernihkan suasana. Dia mencapai satu lagi tin lalu meneguk dengan penuh selera. Terlupa bahawa itu adalah air kencing syaitan yang bakal membawa kemusnahan kepada mereka.

Qartal mendengus lalu kembali menjatuhkan tangannya. Dia melebarkan pandangan ke tempat lain sebelum anak matanya terpaku pada renungan anak mata yang redup itu. Qartal mengetap bibir apabila gadis itu mencarik senyuman nipis buatnya. Lantas, dia mengalih pandangan ke tempat lain.

"Aku rasa macam boring pula malam ni. Apa kata kalau kita cari hiburan sikit." Jeff kembali bersuara dengan sengihan melebar.

Abdul, Bob, Jamal dan Qartal berpaling pada Jeff. Kurang mengerti dengan kata-kata lelaki itu.

"Kau nak cari hiburan dekat mana, Jeff? Kau ingat dalam hutan ni ada kelab?" Abdul membuka mulut.

Jeff tersenyum jahat. Dia mengangkat-angkat keningnya.

"Hiburan dah ada depan mata, buat apa kita sia-siakan," ujar Jeff sambil mengerling ke arah Aisy yang terdampar di atas lantai.

"Maksud kau, kau nak jadikan perempuan tu sebagai hiburan?" soal Bob pantas.

Jeff mengangguk laju.

"No! Bos tak bagi kita usik sikit pun perempuan tu. Kau jangan cari nahas, Jeff!" Qartal memberi amaran.

"Tapi kalau kita jamah sikit, tak luak pun rasanya. Tak payahlah buat yang berat-berat. Ringan-ringan ajelah. Aku ni pun dah lama mengidam nak merasa anak dara King ni," jawab Jamal sambil ketawa lepas.

Abdul, Bob dan Jeff turut ikut ketawa. Hanya Qartal yang kegelisahan.

"Aku ada kunci rantai dia. Apa kata kita buka dulu rantai tu, barulah seronok sikit bergelut. Takkan kita nak tengok macam tu aje, kan?" cadang Abdul sambil menayang kunci yang berada dalam tangannya.

"Cantik cadangan kau tu. Jom!" ajak Jamal teruja.

Mereka berempat bingkas bangun dan mendekati Aisy yang sudah tersedar. Gadis itu kelihatan cuak apabila empat orang lelaki mengelilingi dirinya. Hatinya berdegup tidak tentu hala saat ini. Hanya doa dan zikir yang dilaung-laungkan oleh hatinya.

"Woi, kau orang jangan jadi gila!" marah Qartal lantas menarik bahu Jamal yang sudah mula memegang kaki Aisy.

"Kalau kau tak nak join kami, kau tolong rakam aksi kita orang dengan anak King ni. Tak sabar betul aku," ucap Jamal sambil menepis tangan Qartal yang memaut bahunya.

Abdul mula bertindak membuka kunci di kaki dan tangan Aisy sebelum Jeff memegang kedua-dua belah tangan Aisy.

"Lepaskan aku! Lepaskan aku!" tempik Aisy kuat. Dia meronta-ronta malah kakinya meneranjang sesiapa saja yang mendekat.

Qartal mula mundar-mandir. Dia tidak tahu apa yang harus dilakukan saat ini. Melihat Aisy dikerjakan sebegitu rupa membuatkan hatinya menjadi panas mendadak. Pantas, dia mendapatkan Jeff. Bahu lelaki itu ditarik kasar.

"Kau jangan buat kerja gila, Jeff! Kau nak mati ke kalau bos tahu!" Suara Qartal meninggi.

"Kalau kau tak bagi tahu, bos takkan tahu. Alah, setakat raba-raba sikit aje bukan luak pun dara budak ni!" balas Jeff agak kasar. Dia menjegilkan matanya pada Qartal yang dianggap telah mengganggu masanya.

"Tolong! Tolong!" jerit Aisy dengan sekuat tenaganya yang masih bersisa. Tetapi nasibnya malang apabila mulutnya ditekup kasar. Tercungap-cungap dia cuba menyedut oksigen.

"Ada hati nak mintak tolong. Kau kena bayar atas apa yang bapak kau dah lakukan!" balas Jamal sarat dengan dendam.

Tangannya cuba merentap tudung yang dipakai oleh Aisy tetapi Aisy bertindak pantas dengan menggigit tangan Jeff yang menekup mulutnya. Entah daripada mana datangnya semangat, Aisy terus bertindak ganas. Kepalanya dihantukkan ke muka Jamal yang berada dekat dengannya. Pautan di tangannya terlerai. Kesempatan itu diambil oleh Aisy lalu dia mencapai rantai besi dan dilibas ke muka Abdul dan Jamal. Kedua-dua lelaki itu jatuh tersembam di atas lantai akibat libasan yang kuat daripada Aisy.

Aisy bingkas bangun dengan dada yang berombak ganas. Dia kini sudah bebas daripada rantaian. Saat ini dia berhadapan dengan Bob dan Jeff yang cuba menangkap tubuhnya. Anak mata Aisy mengerling ke arah pintu pondok yang tidak berkunci. Inilah kesempatan untuk dia melarikan diri.

"Berani kau melawan, perempuan? Kau memang nak kena!" marah Jeff apabila nafsunya tidak dapat dipuaskan.

"Selagi Allah tak cabut nyawa aku, selagi itulah aku akan pertahankan maruah aku daripada manusia setan macam kau!" balas Aisy kasar. Dia menggenggam kemas rantai besi yang hendak dijadikan senjata untuk serang balas. Dia tahu keempat-empat lelaki ini telah mabuk dan agak sukar untuk mereka melawan saat ini.

"Kau takkan selamat!" balas Jeff lalu meluru ke arah Aisy.

Aisy sudah nekad. Saat Jeff mendekat, saat itulah Aisy melibas rantai besi itu dengan sekuat tenaga dan libasan itu tepat kena di muka Jeff. Pantas, Aisy menolak tubuh kering lelaki itu lalu kakinya mengarah laju ke muka pintu tanpa sempat untuk Bob menghalang.

"Tak guna! Bob, tangkap perempuan tu!" laung Jeff lantang.

Dengan kepala yang berpusing, Bob terus membuka langkah untuk mengejar Aisy yang telah berjaya melarikan diri. Langkah Bob diikuti oleh Jeff, Jamal dan Abdul. Mereka memegang kulit wajah mereka yang terluka akibat dilibas dengan rantai oleh Aisy.

Qartal hanya tergamam melihat insiden yang berlaku di hadapan mata. Nafas ditarik sedalam mungkin sebelum dihembus dengan perlahan. Dia mengerling pistol yang terletak di atas meja sebelum senyuman terukir di bibirnya yang terlindung di sebalik topeng.

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen2U.Net