Bab 12

Màu nền
Font chữ
Font size
Chiều cao dòng

RONTAAN Aisy dikekang dengan menggunakan tenaganya. Dia yakin bunyi derap tapak kaki yang memijak ranting itu milik orang-orang Razak yang mengekori mereka. Jantung Qartal mula mengepam darah dengan laju. Dia sudah bersiap siaga. Pistol di tangan dipegang kemas.

"Diam! Ada orang ikut kita!" bisik Qartal rapat di telinga Aisy.

Sebaik saja mendengar kata-kata Qartal, rontaan Aisy terus terhenti dengan sendiri. Dia hanya membiarkan saja lengan Qartal yang memeluk tengkuknya dari belakang. Dia tahu lelaki itu berniat untuk melindunginya. Jantungnya kini sudah mula bergendang sesama sendiri. Ada rasa takut mula menjalar dalam dirinya. Dia juga dapat mendengar dengan jelas derap tapak yang semakin mendekat.

Qartal siap melaraskan pistolnya. Perlahan-lahan, dia melepaskan rangkulan di leher Aisy. Sekarang, dia mengambil kedudukan di hadapan Aisy. Tubuh gadis itu disembunyikan di belakang tubuhnya.

Di sebalik pokok balak yang berakar banir, Qartal menjengukkan sedikit kepalanya. Anak matanya meliar mencari pemilik tapak kaki yang kedengaran semakin dekat. Pistol terus diacu. Kelihatan pokok-pokok kecil mula bergoyang.

"Come on, keluarlah..." desis Qartal sambil anak matanya terus fokus pada pokok-pokok yang bergoyang.

Semakin ditenung, semakin kuat pula pokok itu bergoncang. Jantung Qartal bagaikan tidak henti-henti berdetak. Dia menarik picu pistolnya. Bersedia untuk melepaskan tembakan. Namun, saat picu ingin dilepaskan, muncul satu lembaga kecil di hadapannya. Lembaga kecil berwarna hitam dan berbulu lebat itu terkedek-kedek berjalan memanjat pokok.

"Cis! Tak guna punya musang!" maki Qartal sambil menarik nafas lega. Dia menjatuhkan tangannya.

Dia berpaling ke belakang. Kelihatan Aisy sedang memejamkan mata dengan rapat. Bibir gadis itu terkumat-kamit seperti sedang membaca sesuatu. Manakala kedua-dua belah tangan gadis itu menekup telinga. Tanpa sedar, Qartal tersenyum kecil melihat reaksi Aisy.

"Kau baca mantera apa tu?" soal Qartal sambil menjarakkan tubuhnya dari Aisy.

Kelopak mata Aisy terbuka luas. Anak matanya melingas ke kiri dan kanan mencari mayat yang berjaya ditembak oleh Qartal tetapi tiada satu pun mayat manusia yang dilihat. Apa dah jadi sebenarnya ni?

"Kau dah berjaya bunuh ke orang tu? Berapa ramai yang kau dah tembak?" soal Aisy tanpa mendengar penjelasan daripada Qartal.

"Ramai juga. Adalah dalam dua tiga dah jadi mayat..." jawab Qartal dengan riak wajah yang selamba.

Mata Aisy membuntang. Mak ai, dalam masa tak sampai seminit dia berjaya bunuh dua tiga orang sekali gus. Tapi kenapa aku tak bunyi tembakan pun?

"Mana mayatnya? Tak nampak pun." Aisy menyoal lagi sambil kepalanya cuba dijenguk ke belakang.

"Ni hah mayatnya..." ucap Qartal. Lantas, dia mengembangkan telapak tangannya. Kelihatan tiga ekor nyamuk yang sudah mati berada di atas telapak tangan Qartal.

Aisy terlopong. Dia mengecilkan matanya memandang Qartal. Dia menggigit bibir menahan geram kerana dipermainkan. Tak guna!

RAZAK mengepal penumbuk. Keadaan di dalam pondok yang berselerakan itu mengundang amarahnya. Tawanan yang begitu berharga turut menghilangkan diri. Hati Razak mendidih panas. Dia berpaling.

"Mana anak King? Kenapa dia boleh terlepas?!" soal Razak dengan suara yang meninggi.

Satu per satu wajah anak buahnya dipandang sebelum pandangannya tertancap pada Jamal dan Bob yang kelihatan pucat lesi. Malah, ada tompok darah membasahi baju kedua-dua pengikutnya itu.

"Qartal... Qartal.. Bos..." Bob cuba bersuara. Bibirnya pucat lesi menanggung kesakitan akibat ditembak di bahagian bahu.

"Kenapa dengan Qartal? Mana Qartal?" soal Razak lagi seperti orang kebingungan. Dia melilau mencari kelibat Qartal namun tiada. Hatinya dipagut rasa kurang enak. Jangan-jangan...

"Qartal bawa lari anak King, bos! Dia serang kami berempat. Dia bunuh Abdul dan Jeff!" bohong Jamal. Dia menekan bahagian rusuknya yang tercedera. Walaupun peluru sudah dikeluarkan tetapi kesakitan itu tetap terasa.

"Apa? Qartal bawa lari anak King? Tapi untuk apa?" Razak menggelengkan kepala tanda tidak percaya. Sungguh dia terkejut dengan berita yang diterima.

"Kami tak tahu, bos. Masa kami tidur, Qartal senyap-senyap bawa lari anak King. Bila kami sedar, kami terus kejar. Tapi Qartal bertindak ganas. Dia bunuh Abdul dan Jeff kemudian dia hilangkan diri dengan anak King," tambah Jamal mereka-reka cerita. Dia mengerling ke arah Bob. Lelaki itu hanya menganggukkan kepala dan tersenyum nipis.

Dia yakin Razak akan percaya dengan ceritanya dan dia akan pastikan Qartal mendapat balasan yang setimpal selepas kejadian semalam.

"Tak guna! Berani dia main-main dengan aku. Mesti dia nak jual anak King tu dan bolot semua duit tu sendiri. Licik betul kau, Qartal. Aku percayakan kau tapi ini yang kau balas pada aku. Kau memang cari nahas!" marah Razak.

Hatinya sudah tidak mampu menahan rasa amarah yang membara lantas, dinding pondok itu diteranjang sesuka hati malah semua kerusi dan meja menjadi bahan sepakannya bagi melempiaskan rasa marah yang tidak tertahan.

"Mulai sekarang, aku nak kau orang kerahkan semua orang kita cari lelaki tak guna dan perempuan tu sekali. Kalau tak dapat hidup, mayat dia pun aku tak kesah! Dia belum kenal siapa Razak Hitam. Mungkin inilah masanya untuk dia kenal aku!" ujar Razak sambil mengepal penumbuk.

Pengikutnya hanya menganggukkan kepala tanda akur. Jamal dan Bob ialah orang yang paling gembira kerana terlepas daripada masalah. Kini, Qartal menjadi buruan dan mereka tahu orang yang cari pasal dengan Razak pasti hidupnya takkan selamat.

AISY memegang lututnya. Dia cuba menyedut oksigen yang semakin berkurangan. Cahaya matahari yang terik membuatkan tekaknya terasa kering. Mujur ada daun-daun pokok yang melindungi kepala mereka daripada terkena panas mentari. Sesekali Aisy memandang ke hadapan. Qartal masih lagi melangkah laju tanpa menghiraukan keadaannya di belakang.

"Eh, tunggulah dulu. Penat ni." Aisy bersuara.

Qartal menghentikan langkah. Dia berpaling ke belakang sejenak. Kelihatan Aisy sudah duduk di atas tanah bagi melepaskan lelah. Dia merengus sebelum mendekati Aisy.

"Boleh tak kalau kau jangan lengah-lengahkan masa? Sekarang ni kita tak tahu bahaya di hadapan dan belakang. Kalau kau duduk macam ni, bila kita nak keluar dari hutan ni?" bebel Qartal sambil melabuhkan punggung di atas tunggul kayu yang telah mati.

Aisy melepaskan nafasnya. Anak matanya dihalakan tepat ke wajah Qartal. Waktu panas-panas macam ni pun dia boleh lagi berbungkus macam tu. Aku pelik betul dengan mamat ni. Nak kata jahat, tapi dia tolong selamatkan aku. Nak kata baik, kawan dia sendiri pun dia bunuh. Pelik memang pelik, omel hati Aisy sendirian.

"Woi, yang kau pandang aku macam nak makan ni kenapa?" soal Qartal lantas mencampakkan ranting kayu tepat ke wajah Aisy.

Aisy tersedar. Dia tersengih malu.

"Apa nama kau?" soalnya tiba-tiba.

Qartal terdiam. Dia berdeham tanpa menjawab soalan Aisy.

"Aku Aisy Raisya," tambah Aisy setelah Qartal tidak menjawab soalannya.

"Aku tak tanya pun."

"Memanglah kau tak tanya, sekurang-kurangnya bila aku dah kenalkan nama aku, tak adalah kau nak panggil aku hoi lagi. Dan aku nak panggil kau apa?" Aisy mengulangi soalannya. Dia meluruskan kakinya cuba menghilangkan rasa lenguh.

Qartal diam lagi. Dia duduk sambil memeluk tubuh.

Aisy menanti lelaki di hadapannya ini membuka mulut namun hampir lima minit dia menunggu, Qartal masih enggan bersuara. Dia mendengus geram.

"Baiklah kalau kau susah sangat nak bagi tahu nama kau, jadi kau jangan salahkan aku kalau aku panggil nama kau bukan-bukan, ya? Macam inilah, aku panggil kau Combi, boleh? Sebab dekat rumah aku, aku ada bela kucing hitam. Sebiji macam pakaian kau sekarang. Semua hitam. Aku bagi nama dia Combi. Jadi sekarang, aku panggil kau Combi sempena nama kucing aku. Boleh?" Aisy cuba memancing Qartal bersuara dan ternyata usahanya berhasil. Wajah Qartal kelihatan berubah. Semuanya terjelas di sebalik anak mata yang tajam itu.

Qartal tersedak. Matanya membulat. Dia nak panggil aku Combi? What the...

"Qartal... Kau boleh panggil aku Qartal!" jawab Qartal akhirnya.

"Gatal?" soal Aisy inginkan kepastian.

Saat itu Qartal terasa lehernya seperti dicekik. Kenapalah anak King ni banyak cakap? Aci tak kalau aku plaster mulut minah ni? getus hati Qartal. Sebal.

"Qartal, bukan gatal. Faham?" tekan Qartal sambil mengetap bibir. Dia menampar lengannya yang digigit nyamuk.

Aisy menutup mulut menahan tawa.

"Sorry. Itu nama dalam kad pengenalan ke? Pelik aje bunyi." Aisy kembali menyoal. Dia tidak pasti nama lelaki itu. Sebelum ini dia pun tak jelas panggilan penjahat-penjahat yang lain kepada Qartal. Katal? Gatal?

Qartal meraup wajahnya. Sakit otak apabila terpaksa melayan kerenah Aisy yang banyak bertanya.

"Entah, aku tak tahu nama sebenar aku apa. Orang panggil aku macam tu. Aku ikut ajelah," jawab Qartal acuh tak acuh.

Aisy menganggukkan kepala. Betul juga. Orang seperti Qartal pasti membesar di jalanan dan tidak seperti orang-orang lain. Jauh dalam hati Aisy, terbit perasaan simpati kepada Qartal yang hidup dalam dunia yang penuh kegelapan.

"Kau kerja apa sebelum ni?" soal Aisy lagi. Perasaan ingin tahu semakin membuak-buak dalam dirinya.

Qartal melepaskan keluhan berat. Dia mengecilkan anak matanya memandang Aisy yang masih setia mengharapkan jawapan daripada mulutnya.

"Bunuh orang. Itu bukan setakat kerja aku tapi hobi aku. Kalau aku tak bunuh orang memang rasa tak lengkaplah hidup aku. Aku rasa, kejap lagi ada yang jadi mangsa aku pula," ucap Qartal sambil menjeling penuh makna pada Aisy.

Aisy cuak. Dia menelan air liur. Kata-kata Qartal berjaya membuatkan dia kecut perut. Apatah lagi saat lelaki itu menayang-nayangkan pistol di hadapan matanya. Makin cuak Aisy dibuatnya. Lantas, Aisy bingkas bangun. Dia mengibas-ngibas baju kurungnya yang berpasir.

"Errr... Jomlah cari jalan keluar. Aku pun dah dahaga ni. Kita cari sungai dululah," jawab Aisy lalu berjalan laju ke hadapan.

Qartal menahan tawa daripada terburai. Reaksi kelam-kabut yang ditunjukkan Aisy mencuit hatinya. Kepalanya digelengkan beberapa kali sebelum dia bangun membuntuti langkah Aisy yang semakin ke hadapan.

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen2U.Net