BAB 13

Màu nền
Font chữ
Font size
Chiều cao dòng

KOMENG hanya mampu memandang tuan besarnya mengamuk. Habis satu bilik kerja lelaki itu berselerakan. Meja kaca yang terletak di sudut dinding turut dibaling ke dinding. Bunyi kaca yang pecah berderai membingitkan telinga pada sesiapa yang mendengar.

"Aku nak tahu siapa yang berani belot dalam kumpulan kita ni? Siapa?" soal Tuan Zabir lantang. Dadanya naik turun menahan rasa amarah yang semakin marak di dada.

Komeng terdiam. Dia menundukkan kepala. Sempat lagi dia menyiku pada Atan yang hanya mendiamkan diri.

"Kami tak tahu, tuan. Tapi kami syak Jamal sebab sampai sekarang Jamal tak datang ke markas kita." Atan cuba bersuara.

"Jamal?" Tuan Zabir berpaling. Dia berjalan mendekati Atan dan Komeng.

Atan menganggukkan kepala diikuti oleh Komeng.

"Lepas tuan bunuh Sham, Jamal mula berubah sikap. Kadang-kadang sikap dia mencurigakan sampailah bila tuan cuti, dia pun hilangkan diri. Kami syak dia yang mula belot dengan kita." Komeng menambah.

Tuan Zabir terdiam sejenak. Terlayar wajah Jamal dalam fikirannya. Selama ini dia cukup mempercayai Jamal malah lelaki itu diangkat menjadi orang kanannya tetapi ternyata dia dikhianati oleh orang kepercayaannya sendiri. Tuan Zabir merengus.

Kini, tiada apa yang lebih merisaukan Tuan Zabir selain Aisy yang masih berada dalam genggaman Razak Hitam, musuh utamanya. Dia akan lakukan apa saja asalkan Aisy selamat. Dia yakin Jamal yang bertanggungjawab di atas semua yang berlaku.

"Walaupun kita dapat alihkan perhatian polis daripada kejar kita sebab kes seludup warga asing tu tapi dekat mana-mana sempadan pasti ada sekatan jalan raya. Kerja kita semakin susah, tuan. Pergerakan kita terbatas. Nak-nak sejak kes berlian hilang daripada muzium, semua jadi kacau, tuan." Atan memberi laporan.

Tuan Zabir menarik nafas dalam sebelum melepaskannya dengan perlahan. Apabila kes berkaitan dengan polis, dia tidak boleh cepat melatah. Buruk padahnya nanti.

"Mulai hari ni, kita slow down semua business kita. Aku nak kau cari Jamal sampai ke lubang cacing. Dia nak bermain dengan aku. Dia belum kenal siapa King dan mulai esok kau kumpul semua gengster, aku nak serang tempat Razak Hitam." Tuan Zabir memberi arahan. Dia mengepal penumbuk.

Atan dan Komeng berpandangan. Masalah apa lagi yang ingin dicipta oleh Tuan Zabir dengan geng Golden Eagle?

"Tuan nak serang Razak Hitam? Bos tahu kan mereka tu bahaya." Komeng bersuara bersama dahi yang berkerut.

"Bahaya? Nak lindungi sebutir berlian pun tak mampu. Itu kau cakap bahaya? Bahaya tahi kucing!" maki Tuan Zabir sambil meludah ke atas lantai.

"Tapi kenapa kita nak kena serang tempat Razak Hitam pula, tuan?" Atan cuba menyoal walaupun dia takut-takut berani melihat wajah Tuan Zabir yang masam mencuka.

"Dia berani usik barang aku. Aku takkan lepaskan dia sewenang-wenangnya. Kalau nyawa aku perlu pertaruhkan, aku sanggup asalkan dia kembalikan barang aku tu dengan selamat. Kalau boleh, kepala dia akan aku penggal!" ucap Tuan Zabir penuh dengan maknanya yang tersirat.

Masih terngiang-ngiang di telinganya suara Aisy yang menjerit kesakitan. Tetapi Razak langsung tidak mempedulikan rayuan anak gadisnya itu. Hati bapa mana yang tega melihat satu-satu anak gadisnya diperlakukan seperti binatang? Disepak dan diterajang sesuka hati.

"Nyawa kau masih belum cukup untuk membalas kesakitan yang anak aku rasa. Tunggu kau, Razak. Aku akan hantar kau ke neraka!" desis Tuan Zabir. Nekad.

Maafkan ayah, Aisy. Ayah dah letakkan Aisy dalam bahaya. Tapi ayah janji, ayah akan selamatkan Aisy. Tunggu ayah, sayang, detik hati Tuan Zabir. Mutiara jernih mula bertakung di kelopak mata.

LANGKAH Aisy semakin longlai. Dia kepenatan. Hampir berjam-jam mereka berdua berjalan namun bayang sungai pun tidak kelihatan. Di kiri dan kanan dipenuhi dengan pokok-pokok dan tumbuh-tumbuhan hutan yang jarang dilihat. Aisy mengeluh panjang sebelum dia terduduk di atas tanah buat kesekian kali. Perutnya yang lapar minta diisi makin menyukarkan untuk dia bergerak kerana telah banyak kehilangan tenaga.

"Penatnya, Ya Allah!" keluh Aisy lalu dia terbaring di atas tanah. Matanya dipejamkan.

Qartal hanya menggelengkan kepala melihat tingkah Aisy. Jelas, dia pun kepenatan. Bukan setakat penat tapi panas dan rimas dengan topeng yang tersarung di wajahnya. Perlahan-lahan, Qartal menjatuhkan hoodie yang tersangkut di kepalanya. Topeng hitam yang sentiasa menutupi hidung dan mulutnya juga ditanggalkan.

Wahhh... Selesanya, getus hati Qartal saat wajahnya yang sekian lama terlindung di sebalik topeng disapa dengan angin hutan. Memang menyegarkan. Dia mengibas-ngibas tubuhnya yang terasa panas dan melekit.

"Kau tak rasa lapar ke? Aku nak..."

Kata-kata Aisy mati di situ saat matanya tertangkap pada seraut wajah yang cukup asing di pandangannya. Terkebil-kebil dia memandang wajah Qartal yang sebenar. Sedikit ternganga dia melihat wajah lelaki itu tanpa topeng.

Biar betul muka mamat ni? Cukup sifat rupanya tapi kenapa dia sembunyikan selama ni? soal hati Aisy sambil mengamati wajah Qartal sedalam-dalamnya.

Nak kata buruk, taklah buruk. Cuma wajah itu nampak serabut kerana dipenuhi dengan misai dan janggut yang disimpan menjadi goatee. Kulit wajahnya tidak cerah dan tidak terlalu gelap. Sawo matang. Rambutnya panjang hingga ke paras bahu dan kelihatan berserabai seperti tidak pernah dirapikan. Malah, anak rambut dibiarkan terjuntai di dahi sehingga hampir menutupi separuh dahi lelaki itu.

"Dah puas tilik muka aku? Handsome tak?" Soalan Qartal mematikan lamunan Aisy.

Segera Aisy berpaling ke arah lain. Dia berdeham sambil bingkas bangun dan membetulkan duduk. Tiba-tiba saja dia rasa tidak selesa dengan renungan tajam milik Qartal.

"Mana ada aku tilik muka kau. Buang masa aje," balas Aisy tidak mahu mengaku.

Qartal tersenyum sinis. Sudah terang lagi bersuluh minah hoi, kau tenung muka aku macam muka aku ni ada ketumbuhan. Itu pun tak nak mengaku. Dasar perempuan! omel hati Qartal.

"Lantak kaulah. Kau tunggu sini, aku nak cari makanan," ujar Qartal lantas bangun.

"Hah? Kau suruh aku tunggu sini? Aku tak nak. Aku nak ikut kau. Aku takut!" ujar Aisy terus bangun.

Qartal mendengus. Dia mencekak pinggang.

"Jangan banyak songeh boleh tak? Duduk ajelah dekat sini. Aku pergi bukannya jauh. Kau tu suka buat bising, susah aku nak cari makanan. Ke kau nak mati kebulur dalam hutan ni?" soal Qartal garang. Sengaja dia meninggikan suaranya agar Aisy takut.

Aisy menggeleng laju. Dia menarik lengan baju Qartal. Dia betul-betul takut jika ditinggalkan keseorangan. Dia bimbang jika orang-orang Razak datang menyerang.

"Tapi aku takut. Macam mana kalau orang-orang Razak jumpa aku? Aku tak nak kena kurung lagi. Aku tak nak kena rantai. Tolonglah, Qartal. Biar aku ikut kau cari makanan. Aku janji aku tak buat bising," pinta Aisy sambil mengangkat kedua-dua belah tangannya seolah-olah berikrar.

"Tak boleh! Kau tunggu sini. Kalau kau ikut aku, aku tak teragak-agak nak tamatkan riwayat kau. Peluru pistol aku ni penuh lagi. Setakat tembak kepala kau yang kecil ni apalah sangat. Pisau aku pun tajam juga ni. Sekali tikam, gerenti mati. Jadi, kau buatlah pilihan sekarang," ucap Qartal cukup bersahaja. Dia menepis tangan Aisy yang bergayut di lengan baju jaketnya.

Aisy menelan liur. Apabila menyebut soal pistol pasti dia akan menyerah kalah. Lelaki di hadapannya ini bukan boleh dibuat main. Silap gaya, nyawanya juga akan melayang. Lantas, satu sengihan ditayangkan pada Qartal sebelum dia duduk kembali di atas tanah sambil menyandarkan tubuhnya di batang pokok.

"Okey, aku tunggu sini. Kau pergilah cari makanan," balas Aisy akhirnya. Dia menampar lembut lengannya yang digigit nyamuk yang berterbangan.

Qartal tersenyum nipis. Tahu takut. Pantang diugut pasti Aisy akan menyerah kalah. Hati kuman juga perempuan ni, komen Qartal cuma dalam hati.

"Bagus. Mulai saat ni, aku akan tetapkan syarat. Kau kena ikut semua cakap aku kalau kau nak selamat keluar dari hutan ni. Boleh?" soal Qartal.

Aisy angguk. Memang itulah yang dilakukan sekarang. Ikut segala arahan Qartal tanpa banyak soal. Ya ke tanpa banyak soal? Aisy memicit dahinya sendiri.

"Satu lagi, jangan banyak tanya. Aku tak suka perempuan yang banyak soal," tambah Qartal lagi.

"Habis tu, kau suka perempuan macam mana?" soal Aisy.

Qartal menjegilkan matanya. Aisy menepuk mulutnya sendiri.

"Maaf, tak sengaja. Baik, aku takkan tanya apa-apa lagi tentang kau," jawab Aisy sambil menundukkan pandangan. Akur dengan arahan Qartal. Dalam keadaan sebegini, dia tidak boleh mencari pasal dengan Qartal kerana hanya lelaki itu saja harapannya untuk keluar dari hutan yang tebal ini. Walaupun dalam hatinya masih ada rasa ragu-ragu dengan lelaki itu.

"Sekarang, kau ambil pisau ni untuk jadikan senjata. Jangan tidur sewaktu aku tak ada. Ingat, dalam hutan ni bukan orang-orang Razak aje yang berbahaya, binatang pun bahaya. Faham?" sambung Qartal lagi.

Aisy hanya menganggukkan kepala tanda faham. Dia mencapai pisau Rambo yang dihulurkan oleh Qartal. Dia menggenggam kemas pisau yang diberi sambil anak matanya melilau memandang sekeliling.

Qartal tersenyum nipis melihat Aisy yang akur dengan setiap kata-katanya. Dia mula mengatur langkah dan berlalu meninggalkan Aisy.

ANAK mata Qartal melilau mencari tumbuh-tumbuhan yang boleh dijadikan makanan. Hampir lima belas minit dia melilau berseorangan dalam rimba itu namun tiada satu tumbuhan pun yang sesuai untuk dibuat makanan. Qartal menyeka peluh di dahi. Dia mengibas bajunya. Tubuhnya melekit dek peluh yang tak henti-henti mengalir.

"Manalah aku nak cari makanan ni? Air pun tak ada," desis Qartal sendirian.

Dia berpusing memandang ke kiri dan ke kanan. Kemudian, anak matanya tertangkap periuk kera yang tumbuh hingga hampir mencecah tanah. Qartal tersenyum. Sekurang-kurangnya jika ada periuk kera ini, boleh digunakan untuk menadah air. Pantas, Qartal mengeluarkan pisau lipat yang sentiasa disimpan kemas dalam poket seluarnya.

Dia menghampiri serumpun periuk kera tersebut lantas mencantasnya dengan berhat-hati. Bimbang jika tersalah cantas akan merosakkan kendinya.

"Satu dah dapat. Kena cari makanan pula ni." Qartal bercakap sendirian.

Dia berjalan lagi sambil anak matanya memandang ke atas dan ke bawah. Tidak jauh daripada tempatnya berdiri, kelihatan serumpun pokok salak hutan tumbuh dengan megah. Qartal tersenyum girang apabila melihat salak itu berbuah lebat. Ini kesempatan untuk dia mengumpul barang makanan. Lalu, Qartal mencantas buah salak tersebut.

"Bolehlah buat alas perut untuk hari ni sementara jumpa sungai. Sekurang-kurangnya minah tu tak adalah kebulur sangat," omel Qartal sendirian.

Dia meneruskan perjalanan sambil buah salak itu dibalut menggunakan jaket kulit yang sudah ditanggalkan. Langkahnya terhenti apabila terlihat pokok mempelas yang tumbuh meliar. Anak mata Qartal mencari akar pokok tersebut. Mungkin ada rezekinya hari ini.

Pokok yang berdaun kesat itu ditarik kasar sebelum akar pokok itu dicapai. Dia meletakkan buah salak hutan di atas tanah lantas mencantas akar pokok mempelas tersebut. Qartal tersenyum sendirian apabila melihat akar tersebut mengeluarkan air. Tanpa berfikir panjang, Qartal terus meneguk air daripada akar tersebut.

Lega. Itulah yang dirasakan oleh Qartal saat ini. Walaupun air daripada akar pokok mempelas itu tidaklah seenak mana tapi itu sudah memadai untuk dia meneruskan hidup. Kini, Qartal mencari bekas yang boleh digunakan untuk menadah air itu untuk diberikan pada Aisy. Dia menggarukan kepalanya yang tidak gatal.

"Mana aku nak cari bekas ni?" soalnya sendirian.

Anak mata hitamnya terpandang pada tempurung kelapa yang sudah kering bergolek di akar pokok. Dia mendapat idea. Tempurung kelapa itu diambil lalu digunakan untuk menadah air daripada akar pokok mempelas.

Qartal menarik nafas lega apabila melihat sumber makanannya telah mencukupi. Betullah kata orang, ulat dalam batu pun boleh hidup inikan pula manusia yang tersesat dalam hutan.

"MANA Qartal ni?" soal Aisy dengan wajah yang keruh. Terasa bagaikan berjam-jam lelaki itu menghilangkan diri. Aisy mula diserang perasaan takut.

"Jangan-jangan dia tinggalkan aku seorang kat sini tak?" Aisy membuat telahan.

Namun, dia segera menggeleng.

"Mustahil. Tak mungkin dia lari tinggalkan aku. Dia cakap dia nak cari makanan aje tadi. Dia yang suruh aku tunggu," jawab Aisy sendirian. Sekadar untuk menyedapkan hatinya yang keresahan.

Dia menggaru-garu tengkuknya yang terasa gatal. Habis satu badannya terasa miang. Kalau diikutkan, hampir seminggu dia berada dalam hutan belantara ini. Hampir seminggu jugalah badannya tidak dibasahi air. Rasa tidak selesa usahlah dikata.

Aisy membetulkan tudungnya yang sedikit senget. Jari-jemarinya terhenti apabila secara tidak sengaja dia tersentuh rantai yang terselindung di sebalik tudungnya. Serentak, dada Aisy dilanda sebak. Rantai itu mengingatkan dia kepada ayahnya.

"Ayah, Aisy tak sangka ayah buat kerja-kerja kotor ni. Susah Aisy nak percaya ayah adalah penyebab Aisy terperangkap dalam hutan ni. Kenapa ayah buat Aisy macam ni? Ayah tak sayang Aisy ke?" soal Aisy dengan air mata berlinangan.

Pada masa yang sama, wajah Tok Awang dan Nek Hajar menerpa ke ruang minda. Senyuman dan tawa kedua-dua insan yang membesarkannya membuatkan Aisy disapa angin rindu. Dia rindu dengan belaian Nek Hajar. Dia rindu dengan kata-kata nasihat Tok Awang. Tapi bagaimana keadaan mereka selepas kejadian tempoh hari? Masih selamatkah datuk dan neneknya itu? Hati Aisy diserang tanda tanya.

"Nek, tok, Aisy rindu. Tunggu Aisy tau, tok. Nanti Aisy balik," ngongoi Aisy dengan sendu yang mula kedengaran.

Dia memeluk lutut dan menyembamkan wajahnya ke lutut. Dia memejamkan mata. Tidak sampai beberapa minit, Aisy terlena dengan sendirinya. Tanpa Aisy sedar, gerak-gerinya sedang diperhatikan oleh sesuatu.

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen2U.Net