BAB 14

Màu nền
Font chữ
Font size
Chiều cao dòng

SAMBIL bersiul kecil, Qartal memandang tangannya yang dipenuhi dengan makanan. Dia tersenyum nipis sambil melangkah kembali ke tempat Aisy ditinggalkan. Semakin hampir dengan tempat Aisy ditinggalkan, hati Qartal terasa semacam. Dia dapat mendengar seperti ada sesuatu memijak daun-daun dan ranting-ranting kering.

Hati Qartal berdetak. Perlahan-lahan dia meletakkan makanan yang berada dalam genggaman di atas tanah. Pistol berwarna hitam dikeluarkan daripada poket belakang. Dia memegang kemas pistol di tangan sebelum melutut untuk mengintai apa yang berlaku.

Dengan berhati-hati, Qartal menjengukkan kepala ke hadapan. Dia keluar daripada tempat persembunyian dengan mengacukan muncung pistol tepat pada Aisy yang sedang terlena. Mata Qartal membuntang melihat keadaan Aisy sekarang ini.

Aisy yang terasa seperti ada sesuatu bergerak di sekitar tubuhnya dengan pantas mencelikkan mata. Saat kelopak matanya terbuka luas, dia tersentak. Apa tidaknya, muncung pistol milik Qartal menghala tepat ke mukanya. Aisy cuak. Dah kenapa mamat ni nak tembak aku pula?

"Qartal, kau bukan nak bunuh aku, kan?" soal Aisy dengan suara yang tenggelam timbul. Anak matanya sudah berair menahan perasaan gerun melihat wajah Qartal yang bertukar bengis.

"Syhhh... Diam!" Qartal mengeraskan suaranya. Tangannya sedikit terketar-ketar apabila cuba memastikan sasaran yang ingin ditembaknya adalah tepat. Peluh yang jatuh berderaian di dahi dibiarkan tanpa sekaan.

Aisy terkedu. Tetapi tiba-tiba dia terasa seperti ada sesuatu merayap di bahagian perutnya. Malah hidungnya dapat menghidu sesuatu yang busuk dan hanyir. Bau seperti lumpur!

Siiisss...

Bunyi itu seperti biasa didengari oleh Aisy. Jantungnya mula laju mengepam darah. Dalam fikirannya sudah terbayang semua perkara apatah lagi saat ini dia rasakan ada sesuatu yang melingkari pinggangnya. Aisy tidak mampu menahan perasaan. Dia mengalihkan bola matanya ke bawah dan...

"Ular!" Suara Aisy seperti tersekat. Hanya mulutnya saja yang bergerak. Dia menggenggam tangannya dengan erat cuba mengusir rasa takut yang semakin menjadi-jadi.

Saat ini, ular sawa batik sebesar lengan Qartal sedang menjalar di batang tubuh Aisy. Dia ingin menjerit namun tiada suara yang terkeluar. Hanya pandangan mata yang dihalakan kepada Qartal. Berharap lelaki itu menyelamatkannya. Sungguh, dia kegelian ditambah dengan bau hanyir ular itu cukup meloyakan tekak Aisy.

"Tahan nafas, Aisy! Jangan buat sebarang pergerakan kalau kau nak selamat!" Qartal bersuara sambil mengancingkan gigi. Dia tidak mahu suaranya mengejutkan ular sawa tersebut. Bimbang, jika tersalah cara ular itu akan terus membelit leher Aisy.

Memang ular sawa tidak mematuk dan mengeluarkan bisa tetapi jika ia sudah membelit, tiada siapa yang dapat terlepas. Bayangkan seekor lembu pun mampu ditelan apatah lagi gadis bertubuh genit seperti Aisy. Dengan sekelip mata saja mampu menjadi lauknya.

Aisy mengangguk perlahan. Dia memejamkan mata dan menahan nafas. Ketakutan menyelubungi dirinya saat ini. Hanya Allah saja yang tahu perasaannya apabila berhadapan dengan spesies ular sawa yang sangat dia geruni. Badan ular itu yang lembik terasa sejuk apabila menyentuh lengan Aisy.

Qartal melangkah dengan berhati-hati. Dia cuba untuk tidak menghasilkan sebarang bunyi. Kalau ikutkan hati, berkecai kepala ular itu ditembak tetapi Qartal khuatir tembakannya akan tersasar pada Aisy.

Tidak dapat tidak, Qartal mencari kepala ular sawa yang mula merayap ke bahagian kepala Aisy. Kepala ular sawa sebesar penumbuk Aisy diamati betul-betul. Dia melepaskan nafas yang tidak teratur. Inilah kali pertama dia berada dalam situasi yang genting ini.

Qartal memandang wajah Aisy dan ular sawa itu silih berganti. Lantas, sepantas kilat Qartal mencekup kepala ular tersebut dan Sedaya upaya menarik ular itu jauh daripada Aisy.

"Bangun Aisy!" arah Qartal apabila dia berjaya meleraikan belitan ular itu daripada badan Aisy.

Tanpa berlengah, Aisy bangun dan menggeliat kegelian. Dia hanya mampu melihat Qartal yang bergelut dengan ular tersebut sebelum ular itu dicampak jauh ke dalam gaung. Aisy menarik nafas lega.

Qartal termengah-mengah. Dia tunduk memegang lutut.

"Kau tak apa-apa?" soal Qartal sambil mengalih pandangan pada Aisy yang berdiri tegak di sampingnya.

Aisy menggelengkan kepala tanda dia tidak apa-apa.

"Terima kasih sebab selamatkan aku..." ucap Aisy lembut.

Qartal mendengus. Dia membetulkan bajunya. Tangannya yang melekit dikesat di kulit pokok.

"Aku dah pesan pada kau tadi kan, jangan tidur. Kau tidur juga kenapa?!" Suara Qartal meninggi. Melotot dia memandang wajah Aisy yang terkulat-kulat.

"Aaa... Aku..."

"Aku apa? Nasib baik aku datang tepat pada masa kalau tak, kau tu dah jadi lauk pada ular tu. Cakap aku bukannya nak dengar. Tahu tidur aje kerja kau. Suka sangat menyusahkan aku!" marah Qartal lagi sambil menyisip pistolnya kembali ke dalam sarung.

Aisy tersentak. Hatinya tergores. Dia cuba menahan air mata daripada gugur. Berkali-kali dia cuba mengerdipkan mata. Berharap agar mutiara jernih itu tidak gugur.

"Kalau kau tak culik aku, kita takkan ada kat sini. Kalau kau tak culik aku, aku takkan menyusahkan kau!" balas Aisy sambil mengesat pipinya dengan kasar.

Qartal terdiam. Suara Aisy yang hampir tidak kedengaran itu membuatkan dia mengalih pandangan pada gadis itu. Dia terkelu apabila melihat anak mata Aisy yang mula berair. Menangis ke gadis itu?

"Menjawab! Itulah kerja kau. Asyik menjawab aje. Kau cakap nak selamat tapi cakap aku tak nak dengar. Eh, kalau kau asyik nak menyusahkan aku lebih baik kau pergi cari jalan keluar sendiri! Tak kuasa aku nak hadap perangai kau ni!" bentak Qartal lagi seolah-olah menyimbah minyak ke api yang sedang marak.

Aisy mendengus. Dia rasa tercabar dengan kata-kata Qartal. Dia yang culik aku sekarang aku pula yang dipersalahkan. Dasar mamat otak biul! maki Aisy dalam hati. Dia menghentak kaki.

"Baik! Mulai sekarang kau dengan jalan kau, dan aku dengan jalan aku!" Aisy turut membentak.

Tanpa menunggu balasan Qartal, dia berlari meninggalkan lelaki itu. Dia hanya mengikut langkah kaki yang entah ke mana. Habis segala pokok kayu dilanggar. Dia tidak peduli asalkan dia boleh jauh dari lelaki yang tak ada perasaan seperti Qartal.

Qartal mengetap bibir. Dia meraup rambutnya ke belakang. Susah betul dia nak faham perangai perempuan seperti Aisy. Satu keluhan dilepaskan. Dalam hutan yang tebal ini agak sukar untuk gadis seperti Aisy mencari jalan keluar. Tidak dapat tidak, Qartal terpaksa memanjangkan langkah mengejar gadis itu.

"Aisy!"

"AISY, aku cakap berhenti sekarang!" arah Qartal sambil cuba mendapatkan Aisy yang semakin laju. Gadis itu terus berlari tanpa memandang ke belakang sehingga memaksa Qartal untuk turut berlari.

Aisy menyeka air mata. Entah kenapa hatinya cepat tersentuh jika dibentak dengan kasar oleh Qartal padahal dia tahu siapa Qartal sebenarnya. Penjenayah seperti Qartal mana pernah ada sifat baik. Tapi hati kecilnya mengatakan hal yang sebaliknya.

"Aisy!" panggil Qartal lagi. Dia terpaksa meredah segala jenis pokok yang menghalang laluannya semata-mata untuk mendapatkan Aisy yang semakin ke depan.

Dia mengetap bibir. Kelihatan langkah Aisy semakin perlahan. Kesempatan itu diambil oleh Qartal. Dia mempercepatkan langkah lalu lengan Aisy dipaut dari belakang.

Aisy tersentak. Tubuhnya berpusing dan hampir jatuh ke dalam pelukan Qartal tetapi dia lebih pantas bertindak. Dada Qartal ditolak kasar.

"Kau nak apa lagi? Kau juga yang suruh aku cari jalan keluar sendiri. Kau ikut aku kenapa?" soal Aisy garang. Dia menjeling benci.

Qartal mengatur nafas. Nafas ditarik dan dihembus dengan perlahan.

"Kau tahu ke jalan keluar? Jangan nak tunjuk lagak kalau kau tak tahu apa-apa pasal hutan ni!" balas Qartal tidak mahu mengalah.

"Oh, jadi kau tahu ke? Kalau tahu kau baliklah sendiri. Atau kau nak balik semula ke sarang jenayah kau tu? Pergilah! Jangan kacau aku lagi!" Aisy melepaskan amarah.

Dia memalingkan wajahnya ke tempat lain. Jika sebelum ini wajah Qartal memang ditakuti tetapi kini wajah itu menjadi wajah yang paling dibenci. Dasar gengster tahi kucing! maki Aisy cuma dalam hati.

"Eh perempuan, aku cuba buat baik ini balasan kau kat aku? Apa yang susah sangat nak dengar cakap aku? Kau jangan sampai aku bunuh kau kat sini!" balas Qartal masih menjunjung egonya.

Aisy ketawa sinis. Dia mengejek cara Qartal bercakap.

"Tak perlu kau bunuh aku sekarang sebab aku dah lama mati sejak aku jumpa dengan kau! Kau penyebab semua ni jadi. Aku benci kau!" jerit Aisy geram.

Qartal tersentak. Suara jeritan Aisy bergema dalam hutan tersebut. Pantas, Qartal memulas tangan Aisy ke belakang sebelum mulut gadis itu ditekup dengan telapak tangannya.

Aisy terkedu namun tidak lama kemudian, dia meronta-ronta minta dilepaskan. Pautan tangan Qartal di lengannya begitu menyakitkan.

"Jangan menjerit! Ini dalam hutan bukan dekat rumah kaulah, perempuan. Kau nak ke orang-orang Razak tu dengar suara kau?" soal Qartal dengan suara yang dikeraskan.

Aisy mengumpul tenaga. Dengan tenaga wanitanya yang masih bersisa, dia memijak kaki Qartal sebelum telapak tangan lelaki itu yang menekup mulutnya digigit sekuat hati.

"Arggghhh!" Qartal menjerit sambil melepaskan pautan di lengan Aisy.

Aisy ketawa puas. Dia menjarakkan dirinya dari Qartal. Tetapi saat anak mata Qartal merenung tajam ke arahnya, Aisy jadi tidak tentu arah. Dia meneguk liur. Habis aku kali ini!

Tanpa menunggu lama, Aisy mengundur setapak ke belakang. Dia gusar jika Qartal bertindak melulu. Tak pasal-pasal nyawanya melayang hari ini.

"Kau nak cabar aku, perempuan? Kau belum kenal siapa aku lagi. Aku takkan lepaskan kau!" ucap Qartal lalu mengatur langkah untuk menerkam Aisy.

Aisy tidak menunggu lama. Melihat wajah Qartal yang merah padam, dia tahu lelaki itu sedang diamuk amarah lalu Aisy berpaling untuk melarikan diri. Tetapi nasibnya agak malang apabila kakinya tersadung sebelum tubuhnya jatuh tergolek ke bawah gaung yang curam.

"Aisy!"

Qartal tergamam. Jantungnya berdenyut pantas apabila melihat tubuh Aisy yang berguling-guling di bawah curam. Jeritan gadis itu masih kedengaran di telinga Qartal. Dia diserang rasa cemas.

"Apa aku nak buat ni?"

Tanpa berlengah, Qartal terus bertindak dengan menuruni gaung yang curam itu. Semuanya dilakukan semata-mata untuk menyelamatkan Aisy yang entah apa nasibnya. Melilau anak matanya mencari batang tubuh Aisy yang tidak kelihatan.

"Aisy, kau kat mana?" laung Qartal sambil menepis pokok-pokok renek yang mengganggu perjalanannya.

Beberapa kali dia tersadung tetapi dia bangkit semula. Dia mula diserang gelisah. Bayang Aisy tidak kelihatan tetapi telinganya menangkap bunyi desiran air. Qartal terdiam sejenak.

"Sungai?"

Dia meneruskan langkah. Semakin dia meneruskan langkah semakin kuat bunyi desiran air. Qartal teruja. Dia ingin mempercepatkan langkah tetapi tapak kakinya terpasung di bumi sebaik saja terdengar suara rengekan dari arah kanannya.

"To... Tolong..." Gemeresik suara itu kedengaran agak perlahan.

Qartal mengalih pandangan ke sisi. Matanya membulat melihat Aisy yang jatuh terlentang dan tersangkut di akar kayu yang tumbuh di tebing curam. Tubuh gadis itu kelihatan bergerak-gerak dengan mata yang masih terpejam rapat.

"Kau tak apa-apa, Aisy?" soal Qartal lalu mendapatkan Aisy yang mengaduh kesakitan.

Kepala Aisy dipangku ke atas pahanya. Jelas wajah itu kelihatan calar-balar malah ada kesan luka di dahi Aisy. Timbul rasa simpati dalam diri Qartal melihat wajah Aisy yang berubah pucat.

"Saaa... kit..." Suara Aisy bergetar sebelum anak matanya terus terpejam. Dia pengsan!

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen2U.Net