Bab 2

Màu nền
Font chữ
Font size
Chiều cao dòng

"MACAM mana boleh mati?" bentak Tuan Zabir sambil tangannya menghentak meja. Mencerun bola matanya memandang dua lelaki yang sedang berdiri di hadapannya.

"Semuanya berlaku dengan pantas, tuan. Perempuan tu nak larikan diri dari kurungan, jadi kami terpaksa tembak dia. Bimbang dia akan laporkan markas kita kepada pihak polis," jawab Sham dengan tergagap-gagap.

Riak wajah Tuan Zabir yang keruh sudah cukup membuatkan perut mereka kecut. Bukan mereka tidak kenal dengan lelaki yang bernama Tuan Zabir. Sesiapa yang menentang pasti menemui maut.

"Kau orang ingat lepas kau orang campak mayat tu dalam gaung, polis takkan jumpa? Kau orang baca tak paper hari ni? Baca tak?" sergah Tuan Zabir sambil mencampakkan surat khabar tepat ke wajah Sham dan Jinggo.

Kedua-dua lelaki itu hanya mampu menelan air liur. Lutut mereka ketar secara tiba-tiba apabila Tuan Zabir mula bangun dari kerusi dan menapak ke arah mereka.

"Kami tak sempat nak baca, tuan," jawab Jinggo sambil menundukkan wajahnya.

Tuan Zabir menarik nafas panjang sebelum melepaskannya dengan perlahan. Dia mencapai kembali akhbar yang berselerakan di atas lantai. Helaian muka hadapan dicapai lalu tanpa menunggu lama, dia menggumpal helaian tersebut kemudian melemparkan gumpalan akhbar itu tepat ke muka Jinggo.

"Aku nak kau baca berita tu sekarang!" arah Tuan Zabir garang.

Jinggo hanya mampu menurut. Dia membongkokkan badan lalu mencapai kertas surat khabar yang sudah direnyukkan. Dengan tangan yang terketar-ketar, Jinggo membetulkan helaian tersebut dan matanya meliar mencari berita yang dikatakan oleh Tuan Zabir.

"Aku nak kau baca kuat-kuat. Kalau tak, aku kerat lidah kau!" ugut Tuan Zabir.

Jinggo menelan liur yang terlekat di rengkung. Peluh mula merembes di dahinya. Anak matanya kemudian tertancap pada sebaris tajuk yang membuatkan hatinya tersentap.

"Mayat dicampak ke dalam gaung. Seorang guru di Kuantan dirogol dan dibunuh sebelum dicampakkan ke dalam gaung." Jinggo menghentikan bicaranya. Dia berpandangan dengan Sham sebelum anak matanya beralih pada Tuan Zabir yang masih merenung wajah mereka berdua dengan pandangan yang sukar ditafsirkan oleh Jinggo. Mati aku kali ni! Hatinya menjerit.

"Kau ingat aku tak tahu siapa dalang semua ni? Kau tahu kan sekarang ni polis tengah buru geng kita, kenapa kau buat hal? Aku suruh kau jual budak tu bukan pergi puaskan nafsu kau orang. Kau ni memang bodoh! Menyusahkan aku!" tempik Tuan Zabir. Dia menghampiri Jinggo dan Sham lantas rambut kedua-dua pengikutnya itu ditarik dengan kasar.

"Maafkan kami, tuan. Kami cuma panik bila perempuan tu lari," ucap Sham sambil cuba melepaskan genggaman tangan Tuan Zabir di rambutnya.

Dada Tuan Zabir naik turun menahan rasa amarah yang meluap-luap. Disebabkan kecuaian yang dilakukan oleh pengikutnya ini, segala kerjanya terpaksa ditangguhkan kerana pihak polis giat menjalankan siasatan. Dia bimbang jika segala kerja kotornya dapat dihidu pihak polis memandangkan pihak polis telah berjaya menahan salah seorang ahli kumpulan AK47.

"Maaf? Kau dah menyusahkan aku sekarang kau nak mintak maaf? Bodoh! Tak guna!" balas Tuan Zabir.

Spontan, kedua-dua kepala itu dihantukkan sesama sendiri. Jinggo dan Sham menjerit kesakitan sebelum tubuh mereka jatuh menyembah lantai. Mereka memegang kepala mereka yang terasa berdengung.

Tuan Zabir mengeluarkan sejenis pistol yang dilengkapi dengan alat penyerap bunyi dari jaket yang dipakainya lalu dihalakan tepat ke kepala Jinggo kemudian beralih ke wajah Sham yang kelihatan terketar-ketar.

"Tuan, kami mintak maaf. Beri kami peluang sekali lagi. Kami janji takkan buat lagi," rayu Sham sambil meluru memegang kaki Tuan Zabir yang kelihatan serius.

"Peluang? Aku ni jenis yang tak suka orang yang buat kerja sambil lewa. Kau tahu tak berapa banyak aku rugi sebab perempuan tu mati? Aku rasa lebih baik kau orang ikut perempuan tu!" balas Tuan Zabir.

"Tapi tuan, kami..."

Bang! Bang!

Dua das tembakan tepat terlepas daripada pistol yang digenggam oleh Tuan Zabir. Tanpa amaran, peluru tersebut melepasi kepala Jinggo dan Sham. Kedua-dua lelaki itu jatuh terkulai di atas lantai dengan darah yang menyembur keluar daripada tempurung kepala mereka.

Tuan Zabir tersenyum sinis. Kedengaran pintunya diketuk. Dia mendongak.

"Masuk!" arah Tuan Zabir.

Pintu bilik Tuan Zabir terkuak dari luar. Kelihatan Jamal berdiri kaku di muka pintu sambil matanya memandang tubuh Sham yang berlumuran darah. Mata lelaki itu terbeliak memandang ke atas.

"Sham!" jerit Jamal lalu mendapatkan tubuh kaku milik Sham.

"Tak payahlah kau nak kejutkan dia. Adik kau tu bodoh. Orang bodoh memang layak mati!" balas Tuan Zabir sambil menyepak kaki Sham yang sudah kaku tidak bernyawa.

"Tapi apa salah adik aku, tuan? Tuan yang minta dia masuk geng kita. Tuan tak patut buat dia macam ni!" bentak Jamal geram. Dia menahan air mata yang ingin tumpah.

Sayu hatinya melihat keadaan Sham yang begitu sadis. Darah tidak henti-henti mengalir daripada kepala adiknya itu. Bukan pilihannya untuk menjadi seperti ini. Kesusahan hidup yang mereka dua beradik hadapi membuatkan dia terpaksa melakukan kerja-kerja haram.

"Tak patut? Siapa kau nak halang aku? Kalau kau nak, aku boleh hantar kau sekali ke neraka!" balas Tuan Zabir tanpa belas kasihan.

Kemudian, dia melangkah ke mejanya. Laci meja dibuka lalu sebekas duit diambil kemudian dicampakkan ke arah Jamal yang masih lagi berteleku sambil memeluk tengkuk Sham yang sudah bertukar menjadi mayat.

"Kau ambil duit tu sebagai cagaran untuk nyawa adik kau yang tak guna tu," ujar Tuan Zabir selamba tanpa rasa bersalah.

Jamal hanya mendiamkan diri. Dadanya berombak menahan rasa sakit. Dia telah kehilangan satu-satunya keluarga yang dia ada. Sekarang, Tuan Zabir memberikannya duit untuk menebus nyawa adiknya? Sebegitu murah ke nyawa seorang manusia pada pandangan Tuan Zabir? Hati Jamal mendengus marah. Putik-putik dendam mula membenih dalam hatinya.

Tangannya digenggam. Rasa amarah cuba ditahan sekuat hati. Aku akan pastikan kematian kau bukan sia-sia, Sham. Ini janji aku sebagai abang kau! detik hati Jamal. Dia mengetap bibir lalu memalingkan wajahnya ke arah Tuan Zabir yang sedang duduk bersilang kaki.

"Kau bawa keluar mayat-mayat tak guna ni. Kau campak aje kat mana-mana. Tak pun kau tanam aje belakang markas kita ni. Lepas tu, kau tolong cucikan lantai. Aku banyak kerja nak buat," arah Tuan Zabir dengan bersahaja.

"Baik, tuan," akur Jamal dengan rasa panas yang meluap-luap.

Dia tahu jika dia melawan Tuan Zabir menggunakan kekerasan, dia akan tewas. Budi yang ditaburkan oleh Tuan Zabir kepadanya selama ini menjadikan alasan untuk Tuan Zabir mengungkit, jadi Jamal harus merangka sesuatu agar dendamnya terbalas. Lambat laun, kau akan tersungkur, tuan! desis hati Jamal.

"Sekarang kau boleh keluar," ujar Tuan Zabir lalu mencapai telefon bimbitnya yang berdering. Tertera nama yang cukup dikenali di skrin telefon membuatkan Tuan Zabir sedikit gelabah.

Kali ketiga telefon bimbitnya berdering memaksa Tuan Zabir untuk menjawab panggilan tersebut. Sekilas dia menjeling ke arah Jamal yang sedang bersusah payah mengheret mayat Jinggo untuk dibawa keluar.

"Helo, Zabir ada kerja sikit sebab tu lambat angkat," jawab Tuan Zabir dengan suara yang perlahan.

Jamal yang sedang mencuci sisa-sisa darah di atas lantai hanya memasang telinga. Pelik juga apabila mendengar bahasa Tuan Zabir yang kedengaran lembut apabila bercakap di telefon. Siapa pemanggil tu? soal hati Jamal penuh dengan tanda tanya.

"Konvo? Zabir tak dapat nak balik. Banyak kerja dekat sini. Nanti ada masa Zabir balik. Lagipun konvo aje. Bukan penting pun," ucap Tuan Zabir lagi sambil memicit dahinya.

Konvo? Hati Jamal mula tertanya-tanya. Siapa yang konvo? Tuan Zabir ada anak ke? Lelaki kejam seperti Tuan Zabir ada keluarga ke? Bertubi-tubi soalan bermain dalam fikiran Jamal. Dia harus mendapatkan maklumat itu. Jika benar Tuan Zabir masih mempunyai keluarga, itu merupakan satu kelemahan yang boleh digunakan untuk menghancurkan hidup dia.

"Zabir kena letak telefon sekarang. Mak kirim salam ajelah dengan dia. Nanti Zabir kirimkan duit," ucap Tuan Zabir sebelum menamatkan panggilan.

Mak? Sah, orang tua ni masih ada keluarga. Tapi kat mana keluarga dia? soal Jamal kepada dirinya sendiri. Aku harus siasat! tekad Jamal sendirian.

"Kau buat apa tercegat kat situ? Bersihkan lantai pun lembab!" sergah Tuan Zabir mengejutkan Jamal.

Dia hanya mampu tayang sengih. Kemudian, dia cepat-cepat keluar dari bilik Tuan Zabir dan menutup pintu bilik Tuan Zabir dengan rapat.

"Kau takkan selamat, orang tua. Bersiap sedialah untuk menghadapi kehancuran kau!" getus Jamal sarat dengan api dendam yang membara.

LAMA Aisy merenung wajah Nek Hajar yang sedang bercakap di telefon. Wajah neneknya itu kelihatan manis-manis kelat. Senyuman hambar terukir jelas di bibir wanita tua itu. Sesekali kedengaran Nek Hajar mengeluh berat. Hati Aisy tak sabar-sabar ingin mengetahui cerita daripada Nek Hajar.

"Guane nek, ayah jadi balik dok?" soal Aisy dengan loghat Terengganu yang pekat. Apabila bercakap dengan Nek Hajar, dia terpaksa menggunakan dialek Terengganu, bimbang neneknya itu tidak faham jika dia menggunakan bahasa yang biasa digunakan jika bersama-sama dengan sahabatnya.

Nek Hajar hanya tersenyum kelat. Wajah Aisy yang penuh mengharap hanya mampu ditenung dengan pandangan kosong.

"Ayah Aisy dok dapat balik. Banyak kerja dia kabor," jawab Nek Hajar dengan rasa serba salah.

Senyuman di bibir Aisy mati dengan sendirinya. Dia menundukkan pandangan. Jari-jemarinya bermain sesama sendiri. Hatinya sedikit terkilan dengan sikap ayahnya yang lebih suka mengambil sikap lepas tangan bila berkaitan dengan dirinya. Bukan sehari dua malah semenjak kecil, Aisy tidak pernah mendapat kasih sayang apatah lagi perhatian daripada seorang ayah.

Sejak berumur sepuluh tahun dia dihantar ke kampung oleh ayahnya sendiri sebaik saja ibunya meninggal dunia akibat kemalangan jalan raya. Nek Hajar dan Tok Awang yang bertanggungjawab menjaga kebajikannya. Walaupun segala perbelanjaan dan kos pembelajaran ditanggung penuh oleh ayahnya tetapi bukan itu yang diperlukan oleh Aisy. Dia hanya perlukan seorang ayah yang sentiasa berada di sisinya memberi kasih sayang tanpa berbelah bahagi.

"Aisy janganlah sedih. Mungkin ayah Aisy betul-betul sibuk," sambung Nek Hajar apabila Aisy hanya mendiamkan diri. Jelas terpancar riak kecewa di roman wajah milik Aisy.

"Sibuk sangat ke sampai nak balik sekejap masa Aisy konvo pun dok boleh? Bukan lama pun Aisy mintak. Sehari aje luangkan masa untuk Aisy. Selama ni Aisy dok pernoh merungut kalau ayah tak dapat nak balik. Raya pun ayah dok balik. Bila ayah nak balik, nek? Nak tunggu Aisy mati dulu ke baru nak balik?" bentak Aisy tiba-tiba.

Dadanya sebak. Air mata mula mengalir di pipi. Sungguh dia terkilan dengan sikap yang sering ditunjukkan oleh ayahnya.

Nek Hajar tersentak mendengar bentakan yang terbit daripada mulut Aisy. Selama ini Aisy tidak pernah meninggikan suara tapi hari ini pasti kesabaran cucunya ini sudah berada di hujungnya.

"Dok baik Aisy kabor gitu. Kata-kata tu satu doa, cu. Jangan cakap gitu. Ayah Aisy kerja untuk Aisy gok," pujuk Nek Hajar lembut. Dia menyentuh lengan Aisy.

Aisy menarik lengannya daripada disentuh oleh Nek Hajar. Dia merajuk.

"Aisy dok minta pun ayah kerja sampai lupakan Aisy. Lupakan nenek dan tok. Ayah lupa ke yang Aisy ni tanggungjawab ayah? Aisy ni manusia, nek. Aisy ada perasaan. Bila raya semua orang beraya dengan mak dan ayah, tapi Aisy? Aisy sorang-sorang kat sini. Aisy tak pernah rasa Aisy ada ayah," luah Aisy dengan esakan yang makin kedengaran.

Nek Hajar menghela nafas panjang kemudian menghembuskannya dengan perlahan. Dia memeluk bahu Aisy dengan mesra.

"Tapi Aisy ada nenek dengan tok. Nenek dengan tok sayang sangat dengan Aisy. Kami ada Aisy aje untuk tumpang kasih. Jangan cakap gitu. Jangan cakap seolah-olah nenek tak dok untuk Aisy," balas Nek Hajar lembut memujuk.

Aisy menyeka air mata yang merembes di pipi. Hatinya sedikit terubat dengan kata-kata pujukan daripada Nek Hajar. Lalu, dia memeluk tubuh Nek Hajar dengan kejap.

"Maafkan Aisy, nek. Aisy dah berkasar dengan nenek. Aisy cuma kecewa dengan ayah. Tapi Aisy sayangkan nenek dan tok. Nenek dengan tok jangan tinggalkan Aisy, tau. Aisy tak ada sesiapa lagi dalam dunia ni selain nenek dan tok," ucap Aisy penuh dengan emosi.

Nek Hajar hanya mampu menganggukkan kepala. Dia mengusap kepala Aisy yang bertudung. Hembusan angin petang di tengah sawah meredakan kemarahan dalam diri Aisy. Pelukan hangat penuh dengan kasih sayang daripada Nek Hajar memadamkan rasa kecewa kepada ayahnya.

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen2U.Net