Bab 6

Màu nền
Font chữ
Font size
Chiều cao dòng

"HOI, bangun!" jerkah Jeff sambil menepuk-nepuk kasar pipi Aisy yang lebam. Dia mengambil air mineral lalu direnjis-renjis ke arah Aisy yang sudah dirantai kaki dan tangannya.

Mata Aisy bergerak-gerak sebelum terbuka dengan perlahan-lahan. Kepalanya masih terasa berpusing-pusing namun Aisy gagahkan dirinya untuk mencelikkan mata. Sebaik saja kelopak matanya terbuka, terpampang wajah yang cukup asing daripada pandangannya. Pantas, Aisy bingkas dan mengesot tubuhnya ke belakang.

Aisy panik apabila melihat tubuhnya yang dirantai kaki dan tangan. Anak matanya meliar memandang persekitaran yang agak janggal di pandangan. Ini bukan rumah tok. Aku kat mana ni? soal hati Aisy mulai cuak.

"Kat mana ni? Kau orang siapa?" soal Aisy sambil menarik lututnya hingga ke dada. Tangannya yang dirantai ke hadapan memudahkan dia untuk memeluk lutut. Dia benar-benar ketakutan. Melihat pandangan lelaki botak itu cukup menggerunkan hati Aisy.

"Kita kat syurga ni, sayang. Tak nampak ke istana indah ni?" sindir Jeff sambil ketawa lepas.

Tawanya disambut oleh kawan-kawannya yang lain. Aisy menelan air liur. Fikirannya kembali berputar pada peristiwa sebelum dia pengsan. Terimbau dalam fikirannya wajah Tok Awang dan Nek Hajar yang dibelasah teruk oleh sekumpulan samseng yang menceroboh masuk ke rumahnya.

"Kau nak apa? Apa salah aku dengan kau?" soal Aisy sebak. Sedaya upaya dia cuba menahan air mata daripada gugur tetapi dek rasa takut yang kian menjalar, setitis demi setitis mutiara jernih gugur jua daripada kelopak mata.

"Kau memang tak salah dengan kami tapi bapak kau tu dah menyusahkan kami semua!" jawab Jeff sambil mencekak pinggang.

"Aaa... Apa yang ayah aku dah buat pada kau?" soal Aisy lagi. Dia menundukkan wajah. Tidak berani untuk menentang pandangan tajam lelaki asing itu.

"Kau tak tahu apa yang bapak kau buat?" Soalan dibalas soalan oleh Jeff.

Aisy menggeleng laju. Dia melarikan wajah apabila Jeff mendekatkan wajahnya. Ya Allah, selamatkan aku! rintih hati Aisy semakin ketakutan. Menggigil tubuhnya apabila dagunya dipaut kasar oleh Jeff.

"Jangan sentuh aku!" bentak Aisy berani. Dia menepis tangan Jeff yang cuba menyentuh wajahnya.

Jeff mencerun tajam memandang Aisy. Terasa egonya dicabar dengan suara Aisy yang meninggi. Pantas, rambut Aisy yang dibaluti tudung dicekak kasar. Jeritan Aisy langsung tidak mendatangkan belas dalam diri Jeff.

"Kau nak tahu apa yang bapak keparat kau dah buat? Dia curi berlian daripada kami. Sekarang aku nak berlian tu. Kau tahu tak mana bapak kau simpan berlian tu?" soal Jeff dengan gigi yang sengaja dikancingkan.

"Aku tak tahu! Ayah aku takkan buat kerja-kerja kotor tu!" balas Aisy membela ayahnya. Dia cuba melepaskan cengkaman tangan Jeff di rambutnya. Namun, dia tidak berdaya. Sungguh, kulit kepalanya terasa perit dan sakit.

Jeff ketawa lepas. Dia melepaskan cengkaman daripada rambut Aisy yang tertutup oleh tudung. Dia menuju ke arah rakan-rakannya yang lain. Tangannya disangkutkan ke bahu Bob sementara pandangannya dibiarkan tertancap pada wajah Aisy yang ketakutan.

"Kau silap besarlah, perempuan! Bapak kau tu ketua segala kerja-kerja kotor. Mungkin kau bodoh sebab percayakan bapak kau tu. Hari ni biar aku cerita siapa bapak kau yang sebenar. Kau nampak tak budak-budak dan perempuan-perempuan tu?" soal Jeff.

Dia kembali menghampiri Aisy. Kepala Aisy ditarik lalu memaksa gadis itu supaya berpaling ke satu sudut dinding tidak jauh dari tempat Aisy duduk. Kelihatan dua orang anak gadis dan lima orang kanak-kanak dalam lingkungan tujuh hingga sepuluh tahun sedang duduk bersandar di sudut dinding. Semuanya kelihatan letih dan tidak bermaya. Malah, wajah mereka dipenuhi luka-luka dan kesan lebam.

"Tak lama lagi budak-budak dan perempuan tu akan dijual ke luar negara untuk dijadikan peminta sedekah atau pun pelacur. Kau nak tahu siapa tauke besar dalam kerja-kerja macam ni?" soal Jeff sambil menarik kasar tudung Aisy.

Aisy mula menangis teresak-esak. Hatinya bagaikan ingin pecah menahan rasa gementar dan takut. Dia takut untuk menerima kenyataan ayahnya melakukan pekerjaan terkutuk itu.

"Nak tahu tak?!" jerkah Jeff lalu menampar kasar wajah Aisy. Terteleng wajah Aisy disebabkan tamparan keras itu. Ada darah mengalir daripada celah bibirnya. Dengan rasa terpaksa, Aisy menganggukkan kepala.

"Hah, macam itulah! Bapak kaulah taiko segala kerja-kerja haram. Berlian yang aku curi pun dia dah rembat. Jadi kau tak payah peliklah kenapa bapak kau boleh hidup kaya-raya," ujar Jeff sambil bingkas bangun.

"Jeff, cukuplah tu. Kita tunggu bos datang. Kalau apa-apa jadi pada perempuan ni, kita juga yang susah," ucap Qartal cuba mengekang perbuatan Jeff yang terlalu berkasar dengan Aisy.

Jeff terdiam. Dia mengibas-ngibas tangannya. Kata-kata Qartal ada benarnya juga. Lebih baik Razak yang uruskan perempuan itu.

"Aku cuma geram dengan bapak dia ni. Sebabkan dia, nyawa kita dalam bahaya sekarang. Kalau kita tak dapat semula berlian tu dalam masa dua minggu, nyawa kita yang akan melayang, Qartal. Kau nak mampus ke? Aku tak nak mampus lagi!" ujar Jeff sambil menggosok-gosok kepalanya yang tidak berambut.

"Kau ingat kita orang ni nak mati ke, Jeff? Tapi kalau kau balun budak tu sampai mati pun, dia takkan jawab. Lebih baik kita tunggu keputusan bos. Mana tahu bos nak jual perempuan ni kat seberang. Lumayan juga habuan yang kita dapat nanti," sampuk Bob yang berdiri di sisi Qartal.

Topeng ketiga-tiga lelaki itu sudah ditanggalkan, cuma Qartal saja masih selesa memakai topeng yang menutupi hidungnya hingga ke mulut. Rambutnya yang panjang dibiarkan lepas sehingga menutupi dahi. Langsung tidak terlihat wajahnya yang sebenar.

Aisy tersentak apabila mendengar perkataan 'jual'. Dia tidak mahu dijadikan barang dagangan. Maruahnya tidak semurah itu!

"Lepaskan aku! Lepaskan akulah, setan!" jerit Aisy tidak semena-mena.

Dia bingkas bangun dan cuba untuk meleraikan rantai yang mengikat tangan dan kakinya. Namun, semuanya sia-sia. Rantai itu terlalu utuh untuk dileraikan.

"Cuba ulang apa yang kau cakap tadi..." Jeff kembali menghampiri Aisy.

Dia menyuakan telinganya pada Aisy. Seolah-olah meremehkan Aisy yang sedang terikat. Dada gadis itu kelihatan berombak menahan rasa. Marah mungkin, tebak Jeff.

"Lepaskan aku! Pekak ke? Aku tak ada kena-mengena dengan kehilangan berlian bodoh kau tu! Ayah aku tak salah. Kau yang gila!" tempik Aisy melepaskan kemarahan yang terpendam.

Panggg!

Buat kesekian kalinya pipi Aisy ditampar dengan kuat sehingga membuatkan hidung dan bibir Aisy pecah berdarah. Tetapi Aisy tidak mengalah. Dia akan melakukan apa saja untuk menyelamatkan dirinya daripada cengkaman penculik yang tak berhati perut seperti Jeff.

"Perempuan tak guna! Sekali lagi kau berbunyi, aku tak teragak-agak nak tembak mulut kau!" tengking Jeff lantas mengeluarkan pistol yang terselit di pinggangnya.

Qartal dan Bob berpandangan. Dua lagi rakan mereka yang bersiap siaga di luar pondok persembunyian mereka turut menjenguk ke dalam rumah. Suasana menjadi tegang. Jeff dan Aisy beradu pandangan.

"Kau pengecut! Kau nak bunuh aku? Bunuhlah!" cabar Aisy garang. Mencerlung anak matanya menentang pandangan Jeff yang tajam.

"Kau jangan cabar aku, perempuan!" Jeff memberi amaran. Rahangnya berlaga sama sendiri akibat menahan rasa amarah yang membuak-buak dalam dadanya. Picu pistol ditarik. Kepala Aisy dijadikan sasaran.

Aisy cuba memberanikan diri. Walhal dalam hati betapa kecut perutnya apabila melihat muncung pistol revolver itu betul-betul dihalakan tepat ke dahinya. Sekali petikan, pasti otaknya berkecai.

Ya Allah, andai ini penamat hidup aku, Kau ampunkanlah segala dosa-dosaku. Tetapi aku masih berharap agar Kau selamatkan aku daripada seksaan ini, Ya Allah. Aku tak mahu pergi menghadap-Mu dengan keadaan yang tidak sempurna, monolog Aisy bersama air mata yang laju menuruni lekuk pipi.

Kebisuan Aisy menambahkan rasa sakit hati Jeff. Belum pernah ada gadis yang berani mencabar dirinya. Kali ini biar dia menamatkan riwayat gadis degil seperti Aisy. Lantas, picu pistolnya terus ditarik. Jeff nekad!

Bang!

Tembakan Jeff tersasar ke udara apabila tangannya ditepis oleh Qartal. Sepantas kilat, Qartal berjaya merampas pistol daripada tangan Jeff. Dia mencampakkan pistol milik Jeff jauh ke belakang.

"Kau dah gila ke, Jeff? Kau lupa perempuan tu tawanan bos kita? Kau nak cari nahas ke? Kalau perempuan ni mati, aku yakin kau pun akan mati!" jerkah Qartal sambil menolak bahu Jeff.

Jeff tersedar. Dia meraup wajahnya. Nafas ditarik dan dihembus dengan perlahan.

"Perempuan ni memang cari pasal. Kalau bukan sebab kau, pasti maut yang menjemput dia malam ni!" bentak Jeff cuba mendapatkan Aisy sekali lagi.

Aisy menjerit lalu mengelak. Qartal pantas bertindak dengan menangkap tubuh Jeff bagi menghalang lelaki itu menyerang Aisy.

"Sudahlah, Jeff! Kau akan keruhkan lagi keadaan. Sekarang kau keluar dulu. Biar aku yang jaga perempuan ni." Qartal memberi idea.

Dia memandang wajah Jeff dan Aisy silih berganti. Sebaik saja dia bertembung pandang dengan Aisy, satu jelingan dihadiahkan oleh gadis itu.

"Baik, kali ni aku bagi perempuan ni peluang. Tapi Qartal, kalau bos arahkan untuk bunuh perempuan ni, kau serahkan pada aku. Aku tak sabar nak cabut nyawa perempuan tak guna ni!" balas Jeff kasar sambil menuding jari kepada Aisy yang sedang berdiri sambil melekapkan belakang tubuhnya di dinding.

"Kau yang tak guna!" Aisy melawan.

"Perempuan ni kan, sekali aku..."

"Sudahlah tu, Jeff! Kau keluar sekarang. Bob, Leman, kau bawa Jeff keluar. Biar aku uruskan perempuan ni!" arah Qartal.

Bob dan Leman hanya menurut. Dia menarik lengan Jeff supaya menjauhi Qartal dan Aisy. Tubuh orang kanan Razak itu ditarik hingga ke luar pondok buruk milik mereka. Pintu ditutup rapat.

AISY menarik nafas lega. Spontan dia duduk kembali. Anak matanya melingas memandang lelaki bertopeng yang mundar-mandir di hadapannya. Dahi Aisy berkerut kerana cuba mengamati wajah lelaki itu yang tidak kelihatan kerana ditutupi topeng dan rambutnya yang panjang.

Jantung Aisy berdetak kencang apabila lelaki asing itu menghampiri sebelum duduk berhadapan dengannya. Aisy melarikan pandangan ke tempat lain. Renungan anak mata yang tajam itu cukup membuatkan Aisy tidak selesa.

"Boleh tak kalau kau bagi tahu aje kat mana bapak kau sorokkan berlian tu? Kita orang pun tak payah buang masa layan kerenah kau." Qartal bersuara sambil merenung wajah Aisy yang comot.

Aisy menjeling tajam.

"Lepaskan aku!" ujar Aisy tegas.

Qartal melepaskan keluhan. Tegak anak matanya membalas renungan Aisy yang tidak berpuas hati.

"Kau memang degil, kan? Susah sangat ke nak bagi berlian tu? Kau lebih sayangkan berlian tu daripada nyawa kau sendiri? Kau memang bodoh!" ucap Qartal dengan kasar.

"Kau yang bodoh! Aku tak tahu apa-apa pasal berlian tu dan ayah aku takkan buat benda yang haram!" tegas Aisy lagi.

Qartal ketawa sinis. Rambut yang mengganggu pandangan, diselak ke belakang.

"Bercakap dengan perempuan keras kepala macam kau ni memang tak guna. Sepatutnya aku biarkan aje Jeff tembak mulut kau ni. Banyak sangat bunyinya," omel Qartal lalu bingkas bangun sebelum berpaling membelakangi Aisy.

Namun, bunyi esakan dari arah belakang mematikan langkah Qartal.

"Aku tak tahu apa masalah kau dengan ayah aku tapi aku tak bersalah. Aku tak tahu apa-apa pasal berlian tu. Kenapa kau culik aku? Aku bukan orang kaya. Nenek dan atuk aku orang miskin. Dia orang tak dapat nak bayar duit tebusan kalau duit yang kau nak," rintih Aisy.

Dia mengalah. Esakannya semakin menjadi-jadi. Hatinya sayu mengenangkan nasib diri yang masih belum diketahui. Sungguh saat ini dia takut. Dia takut untuk menghadapi kenyataan saat ini dia dijadikan tebusan untuk mendapatkan sebutir berlian yang entah di mana hilangnya.

Qartal menarik nafas dan menghembuskannya dengan perlahan. Sedaya upaya dia cuba untuk tidak termakan dengan rintihan gadis manis itu.

"Orang yang patut dipersalahkan adalah bapak kau sendiri. Dia yang buatkan kau terperangkap kat sini. Jadi kau yang kena bayar apa yang dia dah lakukan," ucap Qartal perlahan tapi masih didengari oleh Aisy.

Aisy tidak mampu menahan perasaannya. Dia menangis semahu-mahunya.

"Diam! Kalau kau menangis sampai buta sekalipun, tak ada siapa yang dapat selamatkan kau," sambung Qartal sambil berpaling.

Jelas pada pandangannya tubuh Aisy yang melorot jatuh di atas lantai. Gadis itu menekup wajahnya ke lantai yang penuh debu dan kotoran. Raungan dan tangisan gadis itu bergema di dalam pondok buruk yang dijadikan markas untuk kumpulan mereka bersembuyi daripada pihak polis.

"Tok, nek, selamatkan Aisy. Ayah, selamatkan Aisy..." rintih Aisy lagi tanpa mempedulikan Qartal yang masih tercegat di hadapannya.

Qartal mendengus. Dia menghampiri Aisy. Lengan Aisy ditarik sehingga gadis itu terduduk semula. Dagu Aisy dipaut kasar oleh Qartal. Bunyi tangisan gadis itu begitu membingitkan telinganya.

"Diam," ujar Qartal dengan suara yang mendatar. Namun dadanya berombak menahan rasa marah dengan sikap Aisy yang tidak mendengar kata.

Aisy terus-terusan menangis. Dia menjadi lemah dalam sekelip mata. Dia tidak peduli pada kehadiran Qartal yang berada di hadapannya. Dia larut dalam perasaan sedih yang begitu mencengkam jiwa wanitanya.

"Aku cakap diam, maknanya diamlah!" jerkah Qartal garang.

Aisy tersentak. Tajam anak matanya memandang wajah lelaki bertopeng di hadapannya. Serta-merta tangisan berhenti secara mendadak. Dadanya berombak kencang. Otaknya bercelaru tika ini. Lantas, dia menepis tangan Qartal yang memegang dagunya. Dia bangun dan cuba untuk melarikan diri.

"Lepaskan aku! Lepaskan aku! Aku nak keluar dari sini!" racau Aisy tidak ubah seperti orang kurang siuman.

Dia menarik rantai yang mengikat kaki dan tangannya. Tarikan yang kuat itu membuatkan telapak tangannya berdarah. Apabila dia tidak berjaya, Aisy mula merentap-rentap rantai itu dengan kuat.

"Aku takkan jadi mangsa kau! Lepaskan aku! Lepaskan aku!!!" jerit Aisy dengan lantang.

Qartal mula hilang kesabaran. Pantas, tubuh Aisy ditolak kasar sehinggakan tubuh genit itu terhentak di dinding sebelum jatuh terjelopok di atas lantai. Tangisan Aisy terhenti. Dia semakin lemah lalu perlahan-lahan matanya terpejam rapat.

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen2U.Net