BAB 4

Màu nền
Font chữ
Font size
Chiều cao dòng


Raudhah mengerekot di atas tikar. Sudah beberapa kali dia mengalihkan postur tubuhnya ke posisi yang lebih selesa. Namun, sehingga sekarang Raudhah masih belum lena. Hatinya jadi tak tenteram. Fikirannya hanyut mengenangkan anak-anaknya yang berada di rumah. Tidur nyenyakkah mereka? Berselerakah mereka menjamah makanan yang dimasak Auzir? Adakalanya Fayyadh cerewet sedikit untuk menjamah makanan, perlu dipujuk dan disuap. Adakalanya Hikmah hanya pura-pura kenyang tetapi sebenarnya masih lapar.

Mampukah Auzir melayani kerenah mereka sendirian? Ada keluhan yang Raudhah lepaskan. Dia bangun duduk sebelum melontarkan pandangan kepada Mirza yang masih lena kekenyangan di dalam katil bayi bersebelahan Wahyu. Mereka saling berdakapan.

Raudhah duduk di atas bangku di sebelah katil sambil menghadap mereka. Tapak tangannya mengusap kepala Mirza sekejap dan kemudian kepala Wahyu. Wahyu tersenyum dalam tidurnya. Entah apa yang dimimpikan si kecil itu. Telatahnya membuatkan Raudhah tersenyum sama.

"Raudhah," tegur suatu suara.

Raudhah menoleh. Dia memandang Fauziah yang baru menapak masuk ke dalam bilik. Sejak petang tadi mereka tidak bersua muka. Dia menyangkakan yang pengetua rumah kebajikan itu sudah pulang.

"Beberapa hari lepas, saya beli pam ni di Lazada. Hari ni baru sampai ke rumah saya. Tapi sebab sepanjang hari saya ada di sini, tak tau pula dah sampai. Saya dah suruh anak saya basuhkan, rendam dalam air panas. Raudhah boleh terus guna lepas ni," luah Fauziah.

"Apa ni, puan?" soal Raudhah.

"Ni pam susu. Saya tau Raudhah tak pernah guna, kan? Raudhah selalu menyusu terus saja, kan?" ujar Fauziah.

Raudhah mengangguk.

"Mari saya ajarkan guna," ajak Fauziah.

Pandangan Raudhah tertumpu kepadanya. Fauziah terus memasangkan botol pada pam yang automatik yang dibelinya.

"Tinggalkan susu sikit untuk Mirza. Kita minta penjaga kat sini susukan dia waktu malam guna botol. Insya-Allah, kalau rasa yang sama, mungkin dia mahu minum. Jadi Raudhah boleh balik, tengok anak-anak di rumah," luahnya, sudah mengerti apa yang terbuku dalam benak Raudhah.

Berhari-hari Fauziah lihat wajahnya murung. Dia hanya boleh balik sekejap pada awal pagi untuk masakkan sarapan anak-anaknya dan menggosokkan baju sekolah mereka. Kemudian dia terus kembali ke rumah itu untuk menjaga Mirza bersama Wahyu. Pasti dia rindukan anak-anaknya yang dua orang lagi di rumah.

"Betul, puan?" soal Raudhah. Air matanya merembes keluar tanpa mampu ditahan-tahan. Ya, dia rindu untuk tidur atas tilam masam bersama anakanaknya yang berdua lagi. Biarpun dia diberikan katil di sini, dia masih tak mampu tidur lena. Dia hanya mengerekot di atas lantai sambil memikirkan mereka saban malam.

Tiap arahan Fauziah didengari Raudhah dengan teliti. Tempoh untuk Raudhah belajar menggunakan pam susu yang dibelikan Fauziah hanya mengambil masa beberapa minit. Fungsinya mudah. Raudhah sememangnya dimurahkan rezeki dengan air susu yang banyak. Setelah berjaya mengepam dua botol susu untuk Mirza, Fauziah membawa botol-botol berisi susu Raudhah keluar untuk disimpan di dalam peti sejuk. Beberapa minit kemudian, Madiha yang bertugas menjaga dua orang bayi lagi di rumah itu melangkah masuk untuk mengambil tempatnya.

"Jom, saya hantarkan Raudhah pulang," pelawa Fauziah yang muncul semula selepas menyimpan susususu tadi.

Raudhah mengangkat Wahyu yang masih lena ke dalam pelukannya. Tetapi, tak sampai sesaat, Mirza terjaga dan berteriak kuat bagaikan sudah tahu yang Raudhah mahu meninggalkannya. Raudhah terpaksa membiarkan Madiha mendukung Wahyu sekejap. Dia mengambil Mirza, mendukung dan mententeramkannya. Dahi Mirza dikucup berkali-kali.

"Mirza, mak balik sekejap, ya. Mak tengok Kak Mah dan Abang Ayad di rumah. Mirza tunggu mak di sini, ya. Insya-Allah, esok mak janji mak datang balik teman Mirza," pujuk Raudhah.

Mirza terdiam. Dia melentokkan muka ke dada Raudhah, seakan-akan mengerti. Raudhah mengucup dahinya sekali lagi dengan penuh kasih sayang. Berat untuk dia meninggalkan Mirza. Kalau diikutkan rasa hati, pasti dia sudah membawa Mirza pulang bersamanya. Tetapi, rumah kebajikan itu mempunyai undang-undang yang ketat untuk melindungi kesemua anak-anak di situ. Dia tidak dibenarkan membawa Mirza sekali.

Sudah tentu Raudhah dan Auzir ada mempertimbangkan idea untuk mengambil Mirza sebagai anak angkat. Tetapi, prosedurnya memerlukan mereka membuktikan yang mereka berkemampuan dari segi kewangan untuk menjaga Mirza. Peluang mereka untuk mendapatkan kelulusan juga lebih rendah kerana mereka berupaya mendapatkan zuriat sendiri. Auzir pernah cuba menghubungi keluarga arwah ibu Mirza untuk bertanyakan pendapat mereka jika Auzir dan Raudhah mengambilnya sebagai anak angkat. Tetapi, tidak berjaya.

"Jom," ajak Fauziah.

Air mata Raudhah merembes lagi. Dia meletakkan Mirza yang sudah lena di atas tilam semula. Pipi tembam itu disentuhnya. Rindu sudahpun bertandang dalam hati meskipun kakinya masih belum memulakan langkah. Alangkah beratnya rasa perpisahan itu.

Perlahan-lahan Wahyu yang masih lena diserahkan semula ke dalam pelukannya. Dia mengangkat beg kain yang dibawa bersamanya pagi tadi. Dalam kesenyapan malam, dia melangkah di sisi Fauziah sebelum masuk ke dalam kereta majikannya itu. Tak sampai setengah jam, dia tiba di rumah pangsa kos rendah empat tingkat yang didiaminya. Fauziah menanti sehingga dia sampai ke tingkat satu dulu. Selepas melihat dia melambai dari koridor atas, barulah majikannya itu berangkat pulang.

Raudhah memulaskan anak kunci di dalam tombol pintu dengan cermat sambil sebelah tangannya masih setia mendukung Wahyu. Hatinya berbolak-balik. Separuh semangatnya pulih, mengenangkan dia sudah kembali ke pangkuan keluarganya. Namun, hatinya jadi resah mengenangkan anaknya yang seorang lagi tertinggal di rumah kebajikan. Bolehkah Mirza minum susu yang dipamnya melalui botol susu? Mahukah Mirza tidur lena semula tanpa didodoinya apabila terjaga kelak?

"Eh, kata tak balik lagi malam ni," tegur Auzir sambil menggosok mata. Dia keluar dari bilik sewaktu terdengar pintu depan terbuka.

"Itulah. Puan Fauziah tawar diri nak hantar saya balik. Saya risaukan abang, budak-budak..." ucap Raudhah. Dia membenarkan Auzir mengambil Wahyu dari pelukannya.

Raudhah membasuh kakinya di bilik air sebelum melangkah masuk ke dalam bilik. Dia melihat anakanaknya yang sudah tertidur di bawah samar-samar cahaya lampu jalan melalui tingkap yang berbogel, tidak dilitup langsir.

"Budak-budak semua sihat. Mereka dengar cakap. Dua-dua dah masuk tidur lepas solat isyak," jelas Auzir.

Raudhah mengangguk.

"Mirza macam mana?" soal Auzir sambil membawa Wahyu masuk ke dalam bilik.

Auzir meletakkan Wahyu yang masih tidur di atas tilam. Anaknya itu berpusing untuk mengubah postur sambil membuka matanya sedikit. Tetapi, kemudian Wahyu terlelap semula.

"Raudhah tinggalkan susu. Harap-harap Mirza mahu minum. Risau juga..." luah Raudhah.

Raudhah duduk di atas tilam sebelum mengusap-usap kepala Hikmah dan Fayyadh. Rindunya pada mereka bukan kepalang. Dia berbaring di antara ruang kecil di tengah-tengah yang ditinggalkan mereka. Sekejap dia mengiring ke kanan, memeluk Hikmah. Tak sampai seminit, dia mengiring ke kiri pula untuk memeluk Fayyadh. Tidak puas melepaskan rindu.

Auzir tersenyum. Dia turut berbaring. Tempat tidurnya hanya berlapik tikar getah di belakang Fayyadh.





Bạn đang đọc truyện trên: Truyen2U.Net