BAB 15

Màu nền
Font chữ
Font size
Chiều cao dòng

TUAN ZABIR merenung langit yang mendung. Langit yang mendung seolah-olah memahami hatinya yang galau dengan apa yang berlaku. Sejak dua menjak ini, Tuan Zabir dapat merasakan hidupnya semakin kucar-kacir sebaik saja berlian red diamond berjaya dirampas daripada tangan Razak.

Paling memeritkan kini, dia menjadi buruan polis kerana menjadi suspek untuk kes pembunuhan Nek Hajar. Tuan Zabir meraup wajahnya. Belum lagi kes itu selesai, anak kesayangannya diculik oleh Razak Hitam sebagai cagaran untuk dia mengembalikan semula berlian yang dicuri.

"Bukan ini yang aku nak, Tuhan. Kenapa anak aku yang jadi mangsa?" keluh Tuan Zabir sendirian.

Dia memandang kedua-dua belah tapak tangannya. Tangan ini yang menyebabkan keluarga mereka berpecah-belah. Tangan ini yang terlalu tamakkan harta hingga mengorbankan semua orang yang disayanginya. Lantas, Tuan Zabir meramas rambutnya dengan kemas.

Menjelma seraut wajah lembut dengan wajah yang sendu ke ruang matanya. Mana mungkin Tuan Zabir melupakan air mata yang mengalir daripada anak mata bundar itu dan malangnya dia adalah penyebab air mata itu tumpah.

Imbas kembali...

"ABANG, apa semua ni?" soal Puan Hayati dengan linangan air mata.

Tuan Zabir menundukkan wajah. Semua rahsia yang selama ini dia simpan daripada pengetahuan Puan Hayati akhirnya terbongkar. Paling memedihkan apabila dia melihat wanita yang amat dicintainya itu menitiskan air mata padahal dia sudah berjanji, tidak akan sesekali menyakiti hati wanita itu.

"Kau yang cari pasal dengan aku, Zabir. Berapa kali aku suruh kau bayar hutang kau tapi kau degil. Kau ingat aku main-main? Sekarang biar bini kau tahu siapa kau yang sebenarnya!" Jefry bersuara.

Dia berjalan mengelilingi Tuan Zabir yang kelihatan tidak keruan. Berapa kali dia memberi peringatan kepada Tuan Zabir agar menjelaskan hutang sebanyak seratus ribu tetapi lelaki itu berdegil. Jadi inilah jalan yang harus dia gunakan agar lelaki itu bertanggungjawab atas apa yang dilakukannya.

"Tapi aku dah cakap, jangan babitkan isteri aku dalam hal ni!" Keras suara Tuan Zabir kedengaran. Peluh yang memercik di dahi, diseka perlahan.

"Abang, lebih baik abang cakap apa yang jadi? Siapa lelaki-lelaki ni? Apa yang abang dah buat?" Bertubi-tubi soalan dimuntahkan oleh Puan Hayati. Dia meronta-ronta minta dilepaskan daripada cengkaman tangan orang-orang Jefry yang mengekang pergerakannya.

"Diam, Yati!" jerkah Tuan Zabir. Otaknya mula kusut. Mindanya terbejat.

Puan Hayati menangis. Dia merenung wajah Tuan Zabir yang kegelisahan. Kecewa. Itulah yang dirasakan saat ini. Dia tidak tahu apa hubungan Tuan Zabir dengan lelaki-lelaki yang menceroboh masuk ke rumahnya ini. Nasib baik anaknya dihantar ke rumah ibu dan ayahnya di kampung, kalau tidak entah apalah nasib yang bakal menimpa anak kecilnya itu.

"Abang suruh Yati diam? Yati takkan diam selagi abang tak cakap hal yang sebenar!" Suara Puan Hayati meninggi. Air mata dibiarkan mengalir tanpa sekaan.

"Abang lakukan semua ini untuk kesenangan kita!" Suara Tuan Zabir turut meninggi. Dia cuba memberanikan diri untuk bertentang mata dengan si isteri namun Tuan Zabir tewas. Renungan penuh rasa kecewa yang terbias di sebalik anak mata hitam milik Puan Hayati membuatkan hati Tuan Zabir tersiat.

"Untuk kesenangan? Ini abang panggil kesenangan? Yati sanggup hidup susah dengan abang asalkan dengan duit yang halal tapi sekarang..." Puan Hayati tidak mampu meneruskan ucapan. Hatinya bagai dirobek-robek dengan perbuatan Tuan Zabir.

"Diam! Meluat aku tengok drama air mata kau orang berdua ni!" jerkah Jefry mematikan bicara Puan Hayati dan Tuan Zabir.

"Aku nak duit aku, Zabir. Bila kau boleh langsaikan?" Jefry kembali kepada topik asal perbicaraan mereka. Dia berdiri tegak di hadapan Tuan Zabir.

"Beri aku masa, Jef. Business aku tak berapa menjadi kebelakangan ni. Nanti bila ada duit, aku bayarlah..." Tuan Zabir memberi alasan.

Jefry tersenyum sinis. Dia merenung tajam wajah Tuan Zabir yang kelihatan gelisah.

"Bila ada duit? Itu aje alasan kau. Tapi bilanya kau nak ada duit? Atau kau nak bayar dengan apa yang ada pada bini kau tu," ujar Jefry menyeringai. Dia beralih pandang pada Puan Hayati. Dia tersenyum penuh makna.

Tuan Zabir tersentak. Pantas, dia mendongak memandang Jefry dengan dada yang berdebar-debar. Pandangan Jefry pada isterinya kelihatan berlainan. Tuan Zabir menggelengkan kepala. Dia takkan benarkan apa-apa pun terjadi kepada isterinya.

"Jangan, Jef! Kau jangan libatkan isteri aku. Kau jangan sentuh dia! Aku tak benarkan!" jerit Tuan Zabir.

Dia ingin meluru pada Jefry yang sudah berdiri di hadapan Puan Hayati. Luruh hatinya saat melihat jemari Jefry menyentuh pipi Puan Hayati yang sedang meronta kuat. Hatinya memberontak marah. Jefry sudah keterlaluan!

Namun, baru setapak dia melangkah, tubuhnya segera ditangkap oleh dua orang Jefry yang berbadan tegap. Langkah Tuan Zabir terpasung. Dia hanya mampu melihat Jefry merentap tudung yang dipakai oleh Puan Hayati dengan kasar. Jeritan Puan Hayati menghancurlumatkan sekeping hati milik Tuan Zabir. Dia meraung.

"Jangan sentuh isteri aku, binatang!" jerit Tuan Zabir sambil cuba melepaskan diri daripada pautan orang-orang Jefry.

Perbuatan Jefry terhenti. Jeritan Tuan Zabir mendatangkan kemarahan dalam hatinya lantas dia berpaling.

"Sayang bini rupanya. Kalau sayang, bayar duit aku sekarang! Sebelum nyawa bini kau melayang. Dah banyak masa aku berikan pada kau tapi apa yang kau bagi pada aku? Sampah! Kau ingat aku bodoh, Zabir. Bulan lepas kau beli kereta baru. Itu kau kata tak ada duit? Kau tahu kan, hutang tu wajib bayar kalau tak padahlah jawapannya." Jefry bersuara. Dia menghampiri Tuan Zabir kembali.

"Abang, bayarlah duit dia. Ambil barang kemas Yati ni. Yati tak kesah kita miskin sekalipun. Abang dengarlah cakap Yati ni..." rayu Puan Hayati lagi dengan tangisan yang tidak henti-henti.

Tuan Zabir mengetap bibir. Mustahil untuk dia mendapatkan duit seratus ribu dalam masa satu hari. Semua duit yang dipinjam sudah dilaburkan pada skim cepat kaya yang nyata tidak memberi untung kepadanya. Natijahnya, dia juga yang rugi dan menanggung hutang yang membebankan. Kini, Jefry datang menuntut janjinya sedangkan duit itu sudah lesap.

"Tolong Jef bagi aku masa. Aku janji akan bayar duit kau. Tapi bagi aku masa..." rayu Tuan Zabir sambil menjatuhkan lututnya di atas lantai.

Jefry mencebik. Dia menggaru-garu telinganya yang terasa gatal. Rayuan Tuan Zabir ibarat masuk telinga kiri keluar telinga kanan. Langsung tidak berbekas dalam otaknya. Jefry menghampiri Tuan Zabir. Rambut lelaki itu direntap kasar sebelum wajahnya disuakan ke wajah Tuan Zabir.

"Cukup-cukuplah kau bodohkan aku, Zabir. Aku bagi kau tempoh seminggu, kau lengah-lengahkan... Sekarang baru nak merayu? Kirim salam ajelah. Kau nak sangat tengok apa yang aku boleh buat, kan? Sekarang tengoklah! Din, koyakkan baju perempuan tu!" arah Jefry dengan tegas.

Orang suruhan Jefry yang bernama Din itu hanya menganggukkan kepala tanda akur. Lantas, lengan baju kurung milik Puan Hayati direntap kasar.

"Argh!" jerit Puan Hayati sambil meronta. Jelas, kain yang menutupi lengannya sudah terkoyak besar sehingga mendedahkan kulit lengannya. Dia menangis lagi.

"Yati!" Tuan Zabir turut melaung. Dia cuba bangun tetapi Jefry terlebih dahulu bertindak. Pipinya ditumbuk kasar. Tuan Zabir rebah ke lantai dengan bibir yang pecah berdarah. Hatinya menggelegak marah namun dia tidak dapat melakukan apa-apa kerana setiap inci rumah banglo dua tingkat miliknya ini sudah dikepung.

"Aku bagi kau peluang. Kau tak payah bayar duit aku tapi kau kena jadi orang suruhan aku untuk seumur hidup kau, sanggup?" Jefry membuat tawaran. Dia duduk mencongok sambil menarik kolar baju Tuan Zabir yang kelihatan sudah lembik.

Tuan Zabir tidak mampu berfikir panjang. Dia terus menganggukkan kepala.

"Aku sanggup, Jef. Aku sanggup buat apa saja asalkan kau jangan apa-apakan isteri aku," ucap Tuan Zabir dengan termengah-mengah.

"Abang, jangan jadi bodoh!" Puan Hayati cuba menahan tetapi habuannya satu tamparan hinggap di pipinya membuatkan Puan Hayati terus terdiam.

"Abang tak ada pilihan, Yati..." desis Tuan Zabir perlahan. Dia memejamkan mata cuba mencari kekuatan untuk membela diri.

"Bagus! Itu yang aku nak dengar tapi ada syaratnya..." Jefry cuba bermain kata. Dia menilik kukunya sendiri sebelum berjalan mundar-mandir di hadapan Tuan Zabir yang masih melutut di atas lantai.

"Apa syaratnya?" soal Tuan Zabir pantas.

Jefry mengukir senyuman yang terkandung seribu satu makna. Wajah Tuan Zabir dan Puan Hayati dipandang silih berganti sebelum dia menghampiri Tuan Zabir.

"Bunuh isteri kau! Nyawa dia boleh gantikan duit yang kau pinjam daripada aku!" Jefry berbisik rapat di telinga Tuan Zabir.

Mata Tuan Zabir terbeliak. Dadanya naik turun menahan rasa marah yang semakin membahang.

"Aku tak nak!" Tuan Zabir melawan. Dia cuba meleraikan cengkaman di tangannya namun dia gagal.

Jefry menarik nafas dalam dan menghembuskannya dengan perlahan.

"Bodoh! Din, kau baringkan perempuan tu atas lantai sekarang! Tanggalkan semua pakaian dia. Kau buatlah apa yang kau suka dengan perempuan tu. Lepas kau, aku nak sorang-sorang ambil giliran 'rasa' bini Si Zabir ni. Nampak macam bergetah lagi tu. Rezeki kau oranglah hari ni!" laung Jefry disambut oleh tawa pengikut-pengikutnya.

"Allahuakbar!" laung Puan Hayati sambil tidak henti-henti meronta. Dia benar-benar ketakutan saat ini mendengar kata-kata Jefry. Dia tidak mahu menjadi mangsa pemuas nafsu oleh jantan-jantan tak guna seperti Jefry. Dia rela mati daripada menjadi bahan mereka yang tidak mempunyai iman.

"Jangan!" jerit Tuan Zabir ketakutan.

"Din, sekarang!" balas Jefry pula.

Din sudah bersiap sedia. Tubuh Puan Hayati ditarik kasar lalu ditolak ke atas lantai. Dengan bantuan empat orang rakannya, tangan dan kaki Puan Hayati dipegang kejap sambil dia bersiap sedia untuk melaksanakan suruhan Jefry. Pucuk dicita ulam mendatang, Din melihat Puan Hayati yang tidak henti-henti meronta.

"Baik! Aku ikut cakap kau!" Tuan Zabir membuat keputusan dalam keterpaksaan.

Tidak sanggup rasanya untuk dia melihat Puan Hayati diperlakukan seperti itu. Terasa seperti egonya sebagai suami dipijak-pijak apabila dia tidak berdaya untuk menyelamatkan isterinya sendiri. Jadi, inilah pilihan yang terbaik untuk isterinya.

Jefry terdiam. Dia mengangkat tangan pada Din tanda meminta lelaki itu menghentikan perbuatannya.

"Baiklah, buatlah sekarang!" arah Jefry.

Kedua-dua orang suruhan Jefry melepaskan cengkaman di tangan Tuan Zabir. Lalu, dengan perasaan yang remuk, Tuan Zabir menghampiri Puan Hayati. Dia merenung wajah si isteri dengan sedalam-dalamnya. Air mata yang membasahi pipi tidak dihiraukan. Wajah Puan Hayati yang tidak bermaya ditatap dengan penuh kasih.

"Maafkan abang, Yati. Kita dah tak boleh berundur. Kita harus tamatkan semua ini..." ujarnya perlahan.

Puan Hayati turut menangis pilu. Melihat keseksaan yang terpamer di wajah Tuan Zabir turut menghancurkan hatinya. Kalau diikutkan rasa marah, memang dia marah pada Tuan Zabir kerana meletakkan dirinya dalam keadaan seperti ini. Tetapi rasa simpati melebihi rasa marahnya kerana dia tahu Tuan Zabir melakukan semua ini semata-mata untuk melihatnya hidup senang seperti orang lain tapi mungkin caranya salah.

"Tapi semua ni salah, bang. Yati tak minta abang limpahkan kemewahan pada Yati. Yati cuma nak abang selalu ada di sisi Yati, itu aje permintaan Yati, bang." Sayu suara Puan Hayati kedengaran.

Tuan Zabir menundukkan wajah. Tangannya mencapai kain tudung milik Puan Hayati yang terdampar di atas lantai. Berat sungguh hatinya saat ini hanya Tuhan yang tahu tapi dia harus melakukan semua ini agar maruah Puan Hayati terpelihara.

"Aku tengah menunggu ni. Tak payah nak buat drama sangat. Aku bosanlah. Cepatlah sikit!" bentak Jefry lalu menyepak rusuk Tuan Zabir. Lelaki itu mengaduh kesakitan.

Tuan Zabir hampir jatuh namun dia segera membetulkan duduk. Kain tudung dipintal dengan tangannya. Jantung dan hatinya mula bergendang sesama sendiri. Apa lagi pilihan yang aku ada, Tuhan?

"Abang mintak maaf, Yati. Mungkin ni kali terakhir kita bertemu. Tunggu abang di sana meskipun destinasi kita tak sama nanti..." ucap Tuan Zabir lirih.

Puan Hayati kebingungan. Dia menggelengkan kepala berkali-kali.

"Apa maksud aaa... bang..."

Suara Puan Hayati mati di situ apabila sepantas kilat Tuan Zabir membelitkan kain tudung Puan Hayati di lehernya dan menjerut leher Puan Hayati dengan kuat. Anak mata Puan Hayati terbeliak. Tercungap-cungap dia cuba menyedut oksigen yang semakin menipis. Dia meronta-ronta cuba melepaskan ikatan di lehernya namun dia tewas. Air mata laju menuruni lekuk pipinya yang semakin lemah.

Manakala Tuan Zabir juga turut menangis melihat isterinya terkapai-kapai meminta pertolongan. Tangannya masih lagi terketar-ketar tapi dia harus menamatkan riwayat Puan Hayati dengan secepat mungkin. Lantas, dia menggandakan kekuatan.

Tidak lama kemudian, rontaan Puan Hayati semakin lemah dan terus lemah. Matanya yang terbeliak akhirnya tertutup rapat. Tiada lagi rontaan. Tiada lagi tangisan. Tubuh itu terus melorot jatuh di atas lantai dengan nafas yang sudah terhenti. Rohnya dicabut dengan cara yang paling kejam oleh suaminya sendiri!

"Yati!" raung Tuan Zabir lantas memeluk tubuh kaku Puan Hayati.

Tidak dapat digambarkan perasaan saat ini. Sedih, kecewa, marah dan dendam bercampur gaul membuatkan otak Tuan Zabir kusut. Dia merenung tajam wajah Jefry yang melonjak kegembiraan melihat kesengsaraan yang dia alami. Tunggu Jef, giliran kau akan sampai. Aku sendiri yang akan hantar kau ke neraka jahanam! Hatinya berbisik penuh dendam.

Masa kini...

TUAN ZABIR tersentak saat pancaran kilat melintas di pandangannya. Dia tersedar daripada lamunan panjangnya. Kisah lama kembali bermain dalam mindanya umpama putaran filem yang tidak pernah menemui penamat. Saat dia cuba untuk melupakan kisah silam, seraut wajah lembut milik Puan Hayati pasti menari-nari di ruang mata.

Dek ingin menutup kesalahan sendiri, Tuan Zabir terpaksa mencipta satu kemalangan buat isterinya sendiri. Tubuh kaku Puan Hayati diletakkan di dalam keretanya sebelum kereta tersebut ditolak ke dalam tasik dengan bantuan pengikut-pengikut Jefry. Luluh hatinya hanya Tuhan yang tahu tapi dia tidak mampu untuk melawan Jefry.

Semenjak peristiwa itu dia menjadi budak suruhan Jefry. Dia menunjukkan sikap baik di hadapan Jefry walhal dalam hati berdongkol rasa amarah yang dipendam. Tidak mungkin dia akan memaafkan orang yang bertanggungjawab menghancurkan keluarganya dengan sekelip mata.

Nasibnya baik waktu itu anak perempuannya sudah dihantar kepada Nek Hajar dan Tok Awang dan sampai sekarang tiada siapa pun tahu yang dia masih mempunyai seorang anak. Tetapi Razak sudah melampaui batas, entah di mana silapnya Aisy menjadi mangsa lelaki tak guna itu.

Tuan Zabir mengeluh lagi. Dia menggenggam telapak tangannya dengan kemas. Lama dia merenung kedua-dua belah tangannya dengan wajah yang sayu.

"Maafkan abang, Yati. Abang gagal jadi suami dan ayah yang baik. Abang terpaksa lakukan semua ini untuk keluarga kita tapi Aisy yang jadi mangsa. Abang janji akan selamatkan Aisy walau apa pun yang berlaku. Kenapa Tuhan tak pernah adil pada abang, Yati? Kenapa? Abang ni bukan hamba Dia ke?" soal Tuan Zabir sendirian. Dia cuba menahan sebak yang menumbuk dada.

Bunyi ketukan di pintu mengganggu lamunan Tuan Zabir. Dia menarik nafas panjang dan melepaskannya dengan perlahan.

"Masuk!" arah Tuan Zabir sambil membetulkan duduknya.

Atan melangkah masuk ke dalam bilik Tuan Zabir dengan rasa cuak. Melihat wajah Tuan Zabir yang masam mencuka cukup untuk dia tahu akan perasaan lelaki itu saat ini.

"Tuan, aku dah siasat pasal Razak Hitam..."

"Hah, apa info yang kau dapat?" pintas Tuan Zabir pantas. Dia mencapai senjata api jenis AK47 lalu digilap dengan perlahan-lahan.

Atan menelan liur. Dia menyeka peluh yang merembes di dahi.

"Buat masa sekarang ni sarang persembunyian Razak Hitam kosong, tuan. Orang-orang dia pun tak kelihatan kat mana-mana. Dia orang seolah-olah melarikan diri, tuan," ujar Atan. Suaranya sedikit bergetaran.

Tuan Zabir merengus kasar. Dia menepuk meja dengan kuat.

"Habis tu, berlian yang dia curi tu untuk siapa?" soal Tuan Zabir lalu bingkas bangun. Dia berpaling dan menghadap wajah Atan yang terkulat-kulat.

"Errr... Untuk Kitai, tuan," jawabnya tergagap-gagap.

"Kitai? Taiko dadah terbesar kat sempadan tu?"

Atan mengangguk kecil.

Tuan Zabir tersenyum kecil. Dalam fikirannya sudah merencana sesuatu. Dia kenal baik dengan Kitai dan dia akan pastikan Razak akan mendapat balasannya kerana dendam tidak seharusnya dibiarkan terus terpendam. Itu prinsip Tuan Zabir.

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen2U.Net